• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Pakatan Harapan akan terus perjuang hak rakyat tanpa hirau PAS, kata MP DAP

 

Mana 2.6 bilionMana 2.6 bilion

Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan terus memperjuangkan hak rakyat tanpa menghiraukan PAS yang terus hanyut mendekati Umno, kata ahli parlimen DAP ekoran kutukan PAS yang mengatakan mereka tidak sopan ketika membantah kehilangan 2.6 bilion wang rakyat.

"Inilah perbezaan ketara di antara Pakatan Harapan dan PAS yang tidak usah kita terus bicara lagi," kata Ahli parlimen Tanjung dari DAP Ng Wei Aik mempersoal Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tindakan sebahagian ahli parlimen pembangkang mengangkat plakad 'Mana RM2.6 Bilion' dalam Dewan Rakyat sebagai tidak sopan.

Beliau sebaliknya menegaskan, tayangan plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ merupakan cara yang paling bersopan dalam memastikan persoalan tersebut dapat terus disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja beliau mengakhiri ucapan Bajet 2016 di Parlimen.

"Jikalau cara ini tidak bersopan, kenapa Ahli Parlimen PAS dari kawasan Pokok Sena dan Rantau Panjang seperti Mahfuz Omar dan Siti Zailah Mohd Yusoff turut berbuat demikian?

"Biarkanlah sahaja jikalau Presiden PAS Hadi Awang ingin terus membayangkan tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan, termasuk juga sebilangan ahli Parlimen Pas yang menayang plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ sebagai suatu tindakan yang tidak sopan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selagi suara rakyat yang ingin bertanya Najib Razak ke mana perginya RM2.6 bilion dapat disampaikan secara langsung melalui cara ini, tindakan sebegini haruslah diteruskan dan tidak harus bagi ahli parlimen berasa malu.

"‘Mana RM2.6 Bilion’ telah menjadi soal misteri dalam negara kita, yang sehingga kini tiada sesiapa kecuali Najib sendiri yang dapat memberikan jawapan yang paling tepat.

"Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan bagi ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan sebagai wakil-wakil rakyat yang terpilih untuk memastikan suara rakyat dapat didengari oleh Perdana Menteri sendiri," katanya.

Beliau juga meminta rakyat mengingati semula tindakan ahli-ahli Parlimen Pas, termasuk mereka yang enggan menayangkan plakad ‘Mana RM2.6 Bilion’ kali ini, menayangkan plakad di Parlimen untuk membantah GST pada 7 April 2014.

"Adakah tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen Pas pada masa tersebut juga dianggap tidak bersopan?" soalnya.

Beliau juga mendakwa Hadi dan beberapa ahli parlimen PAS yang lain 'mesra' Umno.

"Ini menunjukkan Hadi dengan konco-konconya masih ingin memeluk Najib Razak, sehingga ke tahap UMNO terkandung dalam hati mereka.

"Ahli Parlimen Pas dari kawasan Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin Hassan dari kawasan Temerloh dan Mohd Khairuddin Aman Razali dari kawasan Kuala Nerus merupakan antara yang jelasnya UMNO sudah terkandung dalam hati mereka.

"PAS kini telah kehilangan kewajarannya dalam hati rakyat jelata tak kira apa jenis alasan yang diberikan oleh Hadi Awang dalam menjelaskan keengganan segolongan besar ahli-ahli Parlimen Pas untuk menayangkan plakad bagi menyampaikan suara dan rintihan hati rakyat. Demi UMNO, PAS sanggup menghancurkan Pakatan Rakyat dan semakin menjauhkan diri dengan rakyat jelata," katanya.

Tambah beliau juga, ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan akan meneruskan perjuangan untuk menyuarakan suara rakyat terhadap pelbagai isu, bukan sahaja terhadap isu 1MDB, tetapi juga terhadap isu-isu yang berkaitan dengan GST, kadar inflasi, harga minyak, kenaikan tol dan sebagaiinya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: