Amanah kecam tindakan halang presidennya masuki Sarawak

Mohd Anuar TahirMohd Anuar Tahir

Parti Amanah Negara (Amanah) mengecam keras tindakan menghalang Presidennya, Mohamad Sabu memasuki negeri Sarawak seperti yang berlaku hari ini.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir dalam satu kenyataan media berkata, Mohamad tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 10.30 pagi dalam rangka lawatan dua hari ke negeri itu.

"Beliau bagaimanapun ditahan ketika mahu melepasi pemeriksaan imigresen dan hanya dimaklumkan halangan itu atas arahan Pejabat Ketua Menteri.

"Parti Amanah ingin mengingatkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bahawa Sarawak salah sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Tidak sepatutnya hak mana-mana warganegara untuk masuk ke negeri itu dihalang," tegas Anuar.

Tambah beliau, dengan insiden yang tidak disangka itu sangkaan Amanah bahawa Adenan berbeza dari pemimpin sebelumnya adalah meleset dan silap.

Menurut beliau, sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Adenan menyaksikan betapa beliau masih di dalam kerangka pemikiran sempit politik lama seperti diamalkan bekas Ketua Menteri sebelumnya.

Sebelum ini beberapa pepimpin Pakatan Harapan antaranya Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain turut dihalang daripada memasuki negeri itu.

"Apa yang jelas, tindakan terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan dalam masa terdekat ini, menunjukkan betapa Ketua Menteri berada dalam ketakutan dan cuba menyekat suara perubahan dan kebangkitan rakyat," tegas Anuar.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: