• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Siswa sokong Kongres Rakyat jika singkir kesemua Ahli Parlimen

Azzan AznanAzzan AznanMenyokong apa sahaja langkah untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri serta rejim parti Umno-BN, pemimpin mahasiswa turut mendesak penyingkiran kesemua Ahli Parlimen termasuk dari parti pembangkang.

Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Azzan Aznan berkata, pihaknya meraikan sebarang usaha termasuk Kongres Rakyat yang merupakan susulan pemeteraian Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu bagi mencapai tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun, ujarnya, maksud perkataan "semua mereka" pada tuntutan deklarasi berkenaan berhubung "penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya" (Najib) pada perenggan 36 hendaklah ditakrifkan sebagai kesemua 222 ahli Parlimen Malaysia.

“Kami mahasiswa bersetuju selepas meneliti keseluruhan 37 perenggan deklarasi tersebut bersama empat tuntutan yang diketengahkan tetapi dengan tiga syarat.

“Ini kerana kesemua mereka (222 Ahli Parlimen) dikira bersekongkol dengan Datuk Sri Najib Razak atas kegagalan mereka menghalang dan menghukumnya ekoran isu skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Undian tidak percaya gagal diusulkan, penolakan bajet juga menemui jalan kegagalan. Maka kesemua 222 Ahli Parlimen terbabit haruslah disingkirkan melalui cara pembubaran Parlimen,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurut mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, desakan tersebut bertujuan bagi memberi ruang baharu kepada pengembalian kuasa dan mandat kepada rakyat.

Mengulas lanjut beliau berkata, syarat kedua penerimaan mahasiswa terhadap Deklarasi Rakyat itu adalah pemansuhan kesemua undang-undang dan perjanjian yang melanggar hak asasi seperti disebut dalam tuntutan ketiga hendaklah merangkumi kesemua peruntukan.

“Sama ada undang-undang dan perjanjian baru atau lama yang bertentangan dengan hak asasi hendaklah dimansuhkan.

“Ini termasuklah OSA (Akta Rahsia Rasmi), Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti), Akta MKN (Majlis Keselamatan Negara), Akta Hasutan dan sebagainya,” tambahnya yang juga pelajar jurusan undang-undang.

Turut menjadi syarat penerimaan deklarasi itu, ujar Azzan adalah langkah mereformasikan sepenuhnya sistem pilihan raya di negara ini supaya bebas dan adil.

Untuk rekod, Kongres Rakyat anjuran Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) bakal berlangsung di Dewan Konvensyen Shah Alam (SACC), 27 Mac ini dengan dihadiri pemimpin dari parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), wakil kesatuan pekerja dan orang perseorangan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: