Amanah kutuk serangan bom sasarkan orang awam di Brussel

Antara mangsa serangan bom di terminal lapangan terbang Zaventum, Brussel.Antara mangsa serangan bom di terminal lapangan terbang Zaventum, Brussel.

Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk keras serangan bom yang ditujukan kepada orang awam di Brussel sehingga mengakibatkan kematian dan huru-hara di kalangan warga tidak berdosa termasuk orang tua dan kanak-kanak.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada warga Belgium dan warga negara lain yang terlibat dalam insiden malang itu.

"Antara yang terselamat daripada kecederaan serius ialah wanita wwarga negara Malaysia dan anak beliau yang berkeperluan khas di kaunter daftar masuk lapangan terbang," ujarnya.

Menurut Raja Bahrin, rantaian siri pengeboman di Paris, Istanbul, Jakarta dan Ankara dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan bagaimana masyarakat
antarabangsa begitu rentan dan terdedah dengan tragedi seumpama itu.

Kejadian pengeboman terbaru yang berlaku berhampiran ibu pejabat Kesatuan Eropah, katanya menunjukkan ia bermotifkan politik.

"Walau apa pun motif serangan itu, kami teguh berdiri bersama masyarakat antarabangsa mengecam kekejaman itu. Kejadian yang amat dikesali itu tidak boleh
dijustifikasi atas nama perjuangan politik mahu pun agama," katanya.

Tambah Raja Bahrin, nilai universal yang diterima semua agama dan masyarakat adalah nyawa insan yang tidak bersalah perlu dilindungi oleh negara yang
bertamadun.

"Kita bersama berdiri teguh menghadapi budaya 'takfiri' yang menghapuskan golongan yang tidak sependirian terutama di kalangan orang awam. Kini budaya itu
mula merebak sehingga ke negara kita Malaysia.

"Kami menggesa masyarakat antarabangsa dan kerajaan Malaysia melaksanakan tindakan segera bagi melindungi warganya.

"Kami juga menggesa semua kerajaan agar tidak secara berwewenang mendedahkan rakyatnya terhadap ancaman pengganas dalam melaksanakan dasar luar negara mereka," katanya.

Semalam, dua letupan berlaku di kawasan daftar masuk lapangan terbang Zaventum, Brussel pada jam 8 pagi waktu tempatan manakala letupan ketiga berlaku di stesen metro berhampiran bangunan utama Kesatuan Eropah, sejam kemudian.

Letupan di lapangan terbang mengakibatkan 14 orang terbunuh dan 92 cedera manakala sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dengan 106 cedera dalam insiden yang sama di stesen metro.

Polis Belgium telah mengenal pasti dua pengebom bunuh diri sebagai Khalid dan Brahim El Bakraoui manakala seorang lagi suspek sedang diburu.

Kumpulan ISIL (Daesh) mengakui bertanggung jawab di atas serangan tersebut.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: