Pemuda Amanah gesa Azmin Ali jawab isu lebuh raya

 

Mohamed Azmin AliMohamed Azmin Ali

Pembinaan tiga lebuh raya bertol di Selangor mengundang pertikaian sejauh mana ketelusan kerajaan negeri itu ketika rakyat khususnya penduduk di Lembah Kelang sudah sedia dibebani dengan kenaikan bayaran tol.

Kontroversi membabitkan pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE), Lebuhraya Damansara Shah Alam (Dash) serta Lebuhraya Sungai Besi dan Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) berlanjutan apabila Dato Menteri Besar Selangor Tuan Azmin Ali mendakwa kelulusan secara prinsip (approval in principle) berlaku sebelum beliau menjadi Dato' Menteri Besar Selangor lagi.

Naib Ketua (Kenegaraan & Isu-Isu Semasa) Pemuda Amanah Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim menyifatkan dakwaan Azmin itu tidak tepat memandangkan kelulusan akhir yang diperlukan oleh syarikat konsesi melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah Kebenaran Merancang (KM).

“Jika YAB Azmin Ali merujuk bahawa kelulusan berprinsip itu merupakan kelulusan tunggal yang membolehkan syarikat konsesi memulakan satu-satu kerja pembinaan, saya kira rujukan itu tidak tepat. Tanpa KM, syarikat konsesi tidak boleh memacakkan waimma satu tiang pun di mana-mana tanah bawah negeri Selangor.

“Soalan yang ingin ditanyakan kepada YAB Azmin Ali ialah, bilakah Kebenaran Merancang untuk pembinaan Fasa 1 EKVE diberikan? Bilakah pula Kebenaran Merancang untuk DASH dan juga SUKE diluluskan?” bidasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak Azmin menjawab kedua-dua soalan tersebut  dengan jujur memandangkan sebelum ini Pakatan Rakyat umum diketahui pernah 'bermain tali' berhubung Kebenaran Merancang Langat 2 ekoran kehendak mereka yang masih belum dipenuhi Kerajaan Persekutuan ketika itu.

“Hal ini menunjukkan bahawa Kebenaran Merancang merupakan senjata ampuh untuk kerajaan pimpinan YAB Azmin Ali memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat yang marah terhadap kenaikan tol yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Wan Anwar secara tegas menganggap Azmin telah “persetankan” hasrat rakyat yang telah lama jelek dengan kerakusan BN yang menguasai kerajaan Pusat.

Sejak tahun lalu, cadangan pembinaan EKVE menerima bantahan penduduk setempat kerana dibimbangi akan menjejaskan Hutan Simpan Ampang dan Hutan Simpan Ulu Gombak yang berperanan sebagai kawasan tadahan air.

Pembinaan SUKE pula dikatakan bakal mengundang ketidakselesaan kepada kira-kira 700 keluarga di lapan buah taman perumahan antaranya Taman Lang Seng dan Taman Bukit Cheras, selain dua unit sekolah, hutan simpan dan sekurang-kurangnya sebuah rumah ibadat.

Dalam hal berkaitan, DASH mendapat bantahan orang ramai kerana laluan sepanjang 20 kilometer yang bermula di Puncak Alam itu menempuh kawasan padat penduduk di Damansara Perdana, Kota Damansara dan Mutiara Damansara.



PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: