Umno Kedah dapat dana lebih RM3 juta dari mana? soal Pas

Ahmad Bashah Md HanipahPas Kedah mempersoal peruntukan sebanyak RM3.78 juta untuk gerak kerja Umno negeri itu seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pengakuan Ahmad Bashah itu mengguris hati rakyat daif terutama golongan penoreh yang sebelum ini sangat mengharapkan bantuan kerajaan.

"Jika beliau (Ahmad Bashah) boleh mendapatkan dana untuk kepentingan politik Umno, mengapa tidak pula berbuat demikian untuk meringankan beban penoreh getah?" soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, banyak persoalan timbul apabila Ahmad Bashah menyatakan tidak perlu ditanya sumber untuk mendapatkan dana.

"Dari mana sumber wang itu diperoleh? Adakah 'wang derma' dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap kedudukan Ahmad Bashah selaku Menteri Besar?" ujarnya.

Mengulas lanjut masalah terkini dihadapi rakyat negeri itu kesan iklim ekstrem El-Nino, Fakhruddin berpendapat pelan bantuan segera dan jangka panjang hendaklah dilaksanakan.

"Bagi para pelajar sekolah yang terganggu dengan kepanasan melampau, pihak kerajaan jangan fikir cara mudah hanya dengan memberi cuti sedangkan ia merugikan pelajar. Kaedah alternatif yang lebih wajar hendaklah difikir dan dilaksanakan," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Ahmad Bashah mendedahkan secara terperinci sumber wang yang dibelanjakan untuk kepentingan politik Umno itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: