Pesuruhjaya Pas T'ganu sudah demam pilihan raya? soal Raja Bahrin

Raja Bahrin Shah menunjukkan keratan akhbar kenyataan kenyataan pemimpin Pas yang disifatkan tidak konsisten.Raja Bahrin Shah menunjukkan keratan akhbar kenyataan kenyataan pemimpin Pas yang disifatkan tidak konsisten.

Ahli Parlimen Kuala Terangganu Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan Pesuruhjaya Pas Terengganu menghadapi 'demam pilihan raya' kerana bersikap tidak konsisten dalam isu hudud dan tawaran presiden Pas untuk menjadi penasihat Umno.

Sambil menganggap Satiful Bahri Mamat menggelabah kerana pilihan raya negeri semakin hampir, beliau menganggap pemimpin Pas negeri itu terdesak menutup isu 'hudud' dan 'penasihat kerajaan' yang mula memakan diri kerana dipersoalkan sendiri oleh ahli parti.

Menurut beliau, pesuruhjaya Pas Terengganu itu patut mengikut contoh setiausaha politik presiden Pas Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bercadang mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana didakwa memutarbelitkan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung DAP.

Raja Bahrin hairan dengan sikap Satiful yang menyangkal kenyataan beliau tentang presiden Pas yang berhasrat menjadi penasihat kerajaan sedangkan ia dilaporkan secara meluas di media massa.

"Hampir kesemua media perdana dan media sosial alternatif melaporkan kenyataan presiden Pas bahawa Pas tidak berhasrat menukar kerajaan tetapi memadai dengan pendekatan menasihati sahaja ke arah perubahan.

"Malahan ini diulangi beberapa kali dan disiarkan berulang kali (selama) berbulan-bulan oleh kebanyakan media perdana dan sosial.

"Datuk Ahmad Razif (Abdul Rahman), Menteri Besar Terengganu melalui media utama telah menyatakan kerajaan Terengganu hendak melantik presiden PAS sebagai penasihat kepada kerajaan Umno (negeri)," katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa Pas dan Satiful tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit jika laporan berkaitan tidak benar?

Malah beliau melahirkan kehairanan apabila tiada sebarang reaksi atau tindakan dibuat oleh Pas apabila berita berhubung 'penasihat kerajaan' itu disiarkan media massa.

"Apabila kenyataan yang sama datang dari saya, ia pula menjadi fitnah?" ujarnya kesal.

Belau juga hairan dengan sikap Pas yang bersetuju dengan pendekatan pelaksanaan hukum hudud yang disebut presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sedangkan bekas pemimpin Pas yang mengeluarkan pandangan yang sama dituduh liberal, pengkhianat, antihudud dan sebagainya.

"Pas perlu konsisten dalam dua isu di atas. Yang pasti Pas konsisten adalah apabila kenyataan datang dari media pro-Umno atau bekas ahli Umno, Pas akur dan tunduk. Apabila datang dari pihak kami (Amanah) dan lain-lain ianya semuanya fitnah dan tidak benar. Dimanakah konsistensi dan kredebiliti Pas?" soal Pengerusi Amanah Terengganu itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: