Jangan anggap kalau menang debat, 1MDB selesai, kata PAS

Tuan Ibrahim Tuan Man

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan ingatan agar jangan menganggap kemenangan wakil dalam debat isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai penyelesaian kepada isu itu dalam masa 6 bulan yang dijanjikan.

 

Tuan Ibrahim Tuan Man

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan ingatan agar jangan menganggap kemenangan wakil dalam debat isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai penyelesaian kepada isu itu dalam masa 6 bulan yang dijanjikan.

Timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melihat gelagat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang tidak sabar-sabar agar debat 1MDB antara Presiden 1MDB Arul Kanda dan Ahli Parlimen DAP Tony Pua diadakan.

Namun begitu DAP hari ini berkata, mereka akan mengumumkan calon baru selepas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Datuk Hassan Ariffin mengumumkan, sebagai ahli PAC, Tony Pua perlu meletakkan jawatan jika mahu berdebat dengan Arul Kanda.

"PAS ingin mengingatkan BN bahawa debat ini tidak akan membersihkan masalah 1MDB dan kerosakan ekonomi dan ringgit yang dibawa bersamanya.

"Kerana 1MDB, integriti Bank Negara Malaysia turut dipertikai. Siasatan 1MDB yang tergendala menyebabkan imej SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara terus kekal sebagai instituti berkuasa yang tidak bebas dan terkongkong.

"Ini menyebabkan runtuhnya sistem pengawasan dan keseimbangan (‘check and balance’ ) terhadap mereka yang diberi kuasa untuk memerintah negara," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Katanya, apa yang berlaku sekarang adalah tukang lapor dan yang mempertikaikan 1MDB menghadapi masalah diburu pihak berkuasa.

Sedangkan, mereka yang menyebabkan 1MDB meninggalkan hutang berbilion untuk ditanggung kerajaan dan rakyat belum lagi disoalsiasat.

Antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil (Pengarah Urusan SRC International serta Datuk Suboh Md Yasin (Pengarah SRC International Sdn Bhd), kata beliau.

"Pada 22 Oktober lepas, Najib berkata Nik Faisal dan Suboh sedang membuat perancangan untuk ditemubual oleh SPRM. Sehingga kini tiada apa-apa berita mengenainya," katanya.

Begitu juga dengan penasihat 1MDB, Jho Low.

Nampaknya tiada pihak berkuasa yang berani memanggil Jho Low untuk memberi keterangan termasuklah Pengerusi baru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin, kata Tuan Ibrahim lagi.

Pada masa yang sama, kata Tuan Ibrahim, Datuk Hasan Arifin berkata PAC akan memanggil Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, mantan ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Ibrahim Halmi, serta beberapa lagi pengarah syarikat berkaitan 1MDB. Namun, tarikh ini belum ditetapkan lagi.

"Apakah Arul akan bertemu PAC dahulu sebelum debat atau selepas debat? Jika debat dahulu, apakah Arul akan menggunakan jawapan ‘perkara ini sudah dijawab ketika debat dengan salah satu ahli PAC’ ketika ditemubual oleh PAC?

"Jika debat kemudian, apakah Arul akan menggunakan peluang debat itu untuk mengelak memberi jawapan dengan berkata ‘jawapan ini sudah dinyatakan ke PAC’?" soal beliau.

Apapun, katanya, debat ini akan diikuti umum.

Ada yang mengharapkan kemenangan di debat ini akan menghilangkan segala tuduhan tidak terjawab dan impak 1MDB di dalam negara, tambahnya.

"Sebagai peringatan, ada 41 hari sahaja lagi sebelum tempoh 6 bulan yang dijanjikan Najib untuk menyelesaikan masalah 1MDB akan tamat. Diharap Najib tidak menggunakan kemenangan debat ini sebagai penunaian janji bahawa masalah 1MDB telah selesai. Hakikatnya, masalah 1MDB tidak selesai di satu debat," tegas beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel