Merit, dikenali akar umbi faktor pemilihan DAP Selangor

Mesyuarat agung DAP Selangor

Ketika krisis politik antara DAP dengan PAS yang masing-masing didominasi Cina dan Melayu itu masih belum memperlihatkan tanda reda, ada pihak cuba mengaitkan keputusan pemilihan jawatankuasa DAP negeri Selangor dari sudut kaum.

Mesyuarat agung DAP Selangor
Ketika krisis politik antara DAP dengan PAS yang masing-masing didominasi Cina dan Melayu itu masih belum memperlihatkan tanda reda, ada pihak cuba mengaitkan keputusan pemilihan jawatankuasa DAP negeri Selangor dari sudut kaum.

Realitinya, kegagalan tiga calon Melayu meraih undi mencukupi untuk menduduki kerusi dalam jawatankuasa DAP Selangor pada pemilihan 1 November lalu dilihat tidak berkaitan dengan faktor etnik seperti ditegaskan pakar undang-undang Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau yang dilantik ke dalam jawatankuasa itu walaupun tidak bertanding menyifatkan proses pemilihan berpandukan kepada merit serta dijalankan secara telus dan adil ekoran dakwaan pihak tertentu kononnya wujud sentimen kaum sehingga menjejaskan kedudukan calon Melayu untuk menerima undi terbanyak sekaligus berada pada senarai 15 teratas.

"Sama seperti mana-mana pemilihan parti lain, ia semata-mata (tentang) siapa yang anda kenali dan selesa dengannya. Sehubungan itu, saya perlu katakan, proses pemilihan berjalan dengan telus dan adil. Dan saya fikir, perwakilan masih meletakkan keupayaan dan perkhidmatan kepada parti sebagai keutamaan, kerana itulah Gobind Singh Deo memenangi kedudukan teratas,” ujar ahli akademik seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Mengambil contoh rekod Gobind dengan meraih 736 undi sekaligus mengekalkan jawatan peguam itu sebagai Timbalan Pengerusi DAP,  Aziz berpendapat kemenangan Gobind yang bukan Cina dan tidak bertutur dalam bahasa Cina bukti tiada motif warna kulit dan keturunan dalam pemilihan di peringkat negeri itu.

Tiada seorang pun daripada pemimpin Melayu DAP yang bertanding iaitu Edry Faizal Eddy, Nor Miswary Ramli dan Mohamad Samot memenangi undi yang melayakkan mereka tergolong dalam kumpulan 15 teratas.

Walau bagaimanapun, Edry yang fasih berbahasa Mandarin berada di tangga ke-22 dengan 272 undi, dilantik ke jawatankuasa tersebut selain Aziz dan Young Syefura Othman yang tidak bertanding dalam pemilihan berkenaan.

Menganggap tidak begitu dikenali di peringkat akar umbi, Edry dalam kenyataan pada 2 November lalu, turut menolak tuduhan yang mengaitkan kekalahan mereka bertiga dengan sentimen perkauman.

“Sememangnya logik orang Melayu tidak ada yang menang, memandangkan bilangan mereka yang bertanding adalah kecil dan mereka tidak biasa dengan akar umbi. Kekalahan saya dan dua calon Melayu lain tidak perlu dilihat melalui lensa perkauman.

“Begitu juga saya berharap saya tidak diundi hanya kerana saya berketurunan Melayu, tetapi hendaklah atas sebab saya bekerja keras dan banyak membantu aktiviti di peringkat akar umbi,” ujar Edry yang juga Pengerusi DAP Bandar Utama itu.

Beliau turut memberitahu proses pemilihan negeri bersifat meraikan suara akar umbi parti dengan kuasa memilih diberi kepada perwakilan cawangan dari seluruh negeri dan ini beerti semakin seseorang itu dikenali semakin cerah peluang untuk dipilih.

Mengulas lanjut pandangan di internet daripada portal pro-BN seperti Agenda Daily, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor yang baharu itu menyifatkan ramai pihak yang belum memahami sistem pemilihan parti itu mengambil kesempatan atas keputusan pemilihan tersebut.

“Mereka yang mahu bermain sentimen ini ternyata memilih bulu dalam menghuraikan fakta atau masih terikat dengan sudut pandang kaum semata. Mereka menutup sebelah mata bahawa terdapat ramai lagi calon dari pelbagai kaum lain yang mendapat undi lebih rendah berbanding saya.

“Yang tidak berjaya menduduki 15 tangga teratas dalam pemilihan semalam bukan saja Melayu, tetapi juga kawan-kawan berketurunan Cina dan India,” ujar Edry lagi.



PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel