Apakah Idris sokong gaji wakil rakyat mesti besar, tanya Husam

Idris Ahmad

Bekas exco Kelantan, Datuk Husam Musa 'terkejut' terhadap sikap naib presiden PAS, Idris Ahmad yang disifatkan sebagai melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat.

Membalas ingatan Idris terhadap beliau bahawa gaji wakil rakyat adalah hak rakyat, Husam yang juga bekas naib presiden PAS berkata, tidak semestinya ia berlaku kerana terdapat wakil rakyat yang tiada apabila rakyat memerlukan bantuan. 

"Tak sangka beliau juga seorang yang melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat.

"Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat,  itu logik YB Bukit Gantang.

"Ya kah begitu? Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci. Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?" soal Husam.

Kesal terhadap dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh Pas sudah hilang belum sepenggal bergelar wakil rakyat, Husam turut mempersoal kesesuaian masa untuk menaikkan gaji pemimpin di Kelantan.

"Berbalik isu di Kelantan, adakah 'timing' dan 'keadaan' sekarang sesuai?

"Adakah semua rumah rakyat dihanyut bah sudah terbina?" soalnya lagi.

Adun Salor itu juga meminta Idris menyemak semua laporan mengenai bantuan kepada mangsa banjir yang didapati masih banyak yang belum selesai.

"Siapa yang perlu menyemak? Saya atau Idris? Sebagai Ahli Parlimen, dia patut tahu laporan menunjukkan masih banyak yang belum siap.

"Tunggakan guru YIK belum berbayar sejak 16 bulan. Bayaran pencarum Kifalah juga tertunggak.

"Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen. Dikhabarkan, mereka akan dibayar setakat sepuluh bulan sahaja bagi tahun ini," katanya.

Idris seperti dilaporkan Sinar Harian semalam menyeru Husam meneliti segala data yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan berkaitan isu rumah mangsa banjir.

Husam turut meminta kerajaan Kelantan menyemak semula kewajaran menaikkan gaji pemimpinnya dan sanggup berkorban demi kebajikan rakyat.

"Masih ada masa gaji Adun disemak. Bukan tak boleh semak. Bulan Mac depan, Dun Kelantan akan bersidang lagi.

"Saya percaya, masa itu sebahagian besar isu yang saya bangkitkan di atas telah diselesaikan.

Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu.

Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban. Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin PAS agar megutamakan kebajikan rakyat seperti yang selalu dilaungkan suatu ketika dahulu.

"Sudah selesai kewajipan langsung yang lebih utama, jika kemampuan kewangan mengizinkan, tidak ada  salahnya keperluan terkini wakil rakyat disemak.

"Mempertimbangkan 'timing' dan 'keadaan semasa' akan membolehkan wakil rakyat dipilih semula dan menikmati elaun yang telah dibesarkan itu. Jika tidak, mereka hanya akan menerima pencen saja," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: