Halang Dr Zakir Naik: Tindakan KPN memalukan negara

Mujahid Yusuf Rawa

Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menghalang pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik untuk meneruskan ceramah umum di negara ini, satu tindakan memalukan negara kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Datuk Dr Mujahid Yusof RawaTindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menghalang pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik untuk meneruskan syarahan umum di negara ini, satu tindakan memalukan negara kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berpandangan perkara sedemikian tidak akan berlaku dalam sebuah negara demokrasi ia ditafsirkan sebagai satu tindakan terkebelakang.

"Pada awalnya beliau (Dr Zakir) dijemput secara rasmi oleh kerajaan negeri Terengganu sepatutnya tidak ada halangan baginya untuk meneruskan programnya di negara ini.

"Apabila PDRM mengunakan kuasa yang ada kononnya bagi mengekang sensitiviti agama dan ketenteraman awam, malu kita.

"Kita jemput tokoh pendakwah dari luar negara kemudian kita pula anggapnya bahaya, kenapa dari awal larangan itu tidak dilakukan sebelum kehadirannya di negara ini? soal beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

PDRM katanya lagi, mempunyai kumpulan risikan yang hebat terhadap sesiapa sahaja tokoh yang dijemput ke negara ini, pastinya mempunyai latar maklumat yang lengkap sebelum membenarkan mana-mana tokoh memasuki negara ini.

"Ini bukan kali pertama Dr Zakir datang ke Malaysia kenapa baru sekarang timbul soal ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini," ujarnya.

Mujahid diminta mengulas kenyataan Khalid di dalam twitternya semalam yang tidak membenarkan ceramah membabitkan pendakwah perbandingan agama Dr Zakir Naik di negara ini diteruskan berdasarkan ketenteraman awam dan sensitiviti masyarakat berbilang agama.

Ceramah Dr Zakir dengan tajuk "Similarities Between Hinduism and Islam" dijangka akan berlansung pada 17 April ini di Universiti Teknikal Melaka (UTeM) terpaksa dibatalkan.

Sambung Mujahid lagi, pihak yang tidak senang dengan kehadiran Dr Zakir seharusnya mengambil kesempatan untuk lebih mendekati pendakwah ini yang pernah menerima Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.

"Bukan kali pertama beliau datang ke negara ini, orang sudah kenal. Bagi pihak yang tidak sebulu dengan Dr Zakir gunakan platformnya untuk berdebat dengan dia." ujarnya.

Mujahid secara peribadi berkata, beliau beberapa kali pernah mendengar syarahan Dr Zakir walaupun bukan peminat pendakwah antarabangsa itu.

"Saya pernah dengar walaupun bukan peminatnya saya melihat itu sebagai perbahasan ilmiah.

"Adakah berbicara tentang perbezaan agama dalam debat itu sesuatu yang menimbulkan kebencian? Sebagai penganut agama yang berbeza mereka kena berfikiran terbuka.

'Jika ada penganut hindu yang tidak setuju kena lawan berbahas, jangan guna alasan untuk menghalang kemasukan beliau ke negara ini." ujarnya.

Dr Zakir NaikMujahid pernah berdialog dengan penganut agama Kristian di Gereja satu ketika dulu berkata, pendekatan yang digunakan oleh beliau dan Dr Zakir sedikit berbeza dari segi teknikalnya, tetapi mesejnya lebih kurang sama iaitu perbandingan agama.

"Saya lebih berdialog dengan masyarakat Kristian. Tetapi pendekatan Dr Zakir lebih kepada perdebatan, cara itu yang mungkin menimbulkan rasa tidak senang hati penganut agama lain. Bagi saya ini hanya isu teknikal sahaja dalam menyampaikan ilmu.

"Isu yang timbul membabitkan Dr Zakir bukan di Malaysia saja ia juga berlaku di India dan terbawa hingga di sini.

"Jika dikalangan pemimpin Hindraf, MIC dan DAP tidak setuju, mereka berdebatlah, ini isu perbandingan agama bukan isu politik.

"Sepatutnya dialog atau perdebatan satu perkara yang bagus dan jika dilakukan secara sihat tidak akan menjejaskan mana-mana pihak. Jika ada pihak menghalangnya ia dilihat satu tindakan terkebelakang," ujar Ahli Parlimen Parit Buntar ini.

Hindu Rights Action Force (Hindraf) meminta kerajaan untuk mengharamkan pendakwah itu daripada memasuki negara ini.

Ketua Pemuda MIC, C Sivaaraajh pula berhasrat untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang melarang Dr Zakir masuk ke negara ini.

Manakala Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Dr Ramasamy pula mengelarkan Dr Zakir `Setan' dan mahu beliau dihalau daripada negara ini bagaimanapun beliau menarik balik perkataan itu pada hari sama.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: