• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Husam dakwa presiden PAS mengaku mahu bentuk kerajaan Selangor dengan Umno

 

Husam Musa 'lontar bom' dalam ceramahnya di Kota Bharu malam tadi.

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa membuat pendedahan terbuka bahawa presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah merancang mengadakan kerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan di Selangor.

Husam berkata, Hadi sendiri mengakui perkara tersebut apabila ditanya beliau dan rakan-rakan dalam PAS.

Dalam perancangan itu kata Husam, Hadi mengaku membuat tawaran kepada beberapa Adun PKR untuk mencukupkan bilangan bagi menubuhkan kerajaan negeri dengan Umno.

"Presiden kita sendiri mengaku apabila ditanya ramai-ramai," kata Husam dalam ceramahnya di Kota Baru malam tadi.

"Saya jadi begini, Mat Sabu jadi begini, adalah kerana konspirasi orang Umno dengan kerjasama orang PAS," katanya.

Mohamad Sabu yang merupakan bekas timbalan presiden PAS kini menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) dan memgang jawatan sebagai presiden.

Justeru Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor mencabar Hadi menafikan perkara tersebut sekiranya ia tidak benar.

"Kalau presiden kata tidak, sila nafi. Kalau presiden tanya, kenapa beritahu, saya tanya balik, kenapa buat?," katanya.

Beliau meminta Hadi berterus-terang kepada ahli PAS jika benar ingin bekerjasama dengan Umno.

"Kalau kata nak kerjasama (dengan Umno) bagitahu elok-elok biar jelas, panggil muktamar, pangil kawasan-kawasan, bagitahu kawasan-kawasan kita ni dah kerjasama, AJK kita campur dengan AJK dia. Exco kita campur dengan exco dia," katanya.

Husam juga berkata, tidak mungkin perjuangan Islam yang disifatkan sebagai madu dapat bercampur dengan Umno yang disifatkan sebagai najis.

"Madu, kita ni perjuangan Islam dah cantik  tapi campur dengan najis. Dengan rasuah orang semua dah tahu, penyelewengan, kalau campur dengan madu tetap tak boleh makan," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel