Laporan Indeks Syariah Malaysia tidak perlu dipertikai

Tan Sri Dr Mohd Yusof NoorTan Sri Dr Mohd Yusof Noor

Mana-mana pihak tidak seharusnya mempertikaikan dapatan peratusan dalam Laporan Indeks Syariah Malaysia (ISM) 2015 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Mac lalu kerana peratusan indeks itu akan berubah dari masa ke semasa, kata Presiden Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Berdasarkan dapatan ISM yang diumumkan perdana menteri, skor keseluruhan ISM bagi 2015 bagi Malaysia adalah sebanyak 75.42 peratus.

Justeru pemimpin pakatan pembangkang membangkitkan beberapa perkara mengenai dapatan peratusan indeks di dalam lapan bidang keutamaan lain yang didakwa tidak mengambarkan keadaan semasa yang berlaku pada tahun tersebut terutama membabitkan bidang ekonomi, politik dan pendidikan.

Dapatan lapan bidang keutamaan itu menunjukkan indeks syariah dalam bidang pendidikan adalah sebanyak 82.5 peratus, Perundangan Islam ( 87.19 peratus), Ekonomi (65.27 peratus), Politik (79.19 peratus) dan Kesihatan (73.92 peratus).

Bidang sosial adalah sebanyak 68.52 peratus, budaya (66.47 peratus) sementara bidang prasarana dan persekitaran pula mendapat skor sebanyak 62.31 peratus.

Persoalan mengenai angka peratusan terhadap setiap bidang keutamaaan itu pula dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh dan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dakwan mereka adalah tidak telus untuk menilai keseriusan kerajaan dalam piawaian Islam menepati maqasid syariah untuk lapan bidang keutamaan itu.

Syed Ibrahim membangkitkan berkaitan barometer indeks dakwanya, tiada satu pun peratusan diperoleh yang sederhana atau lemah.

Apakah ini mengambarkan keadaan sebenar sedangkan rakyat sedar akan krisis ekonomi, isu kepimpinan dan pendidikan yang dihadapi oleh negara maka input yang diperoleh jawatankuasa itu seolah-olah dianggap sebagai propaganda kerajaan.

Manakala Dr Mujahid mahukan ISM yang diperoleh secara internal oleh jawatankuasa terbabit perlu disahkan di peringkat luar yang bebas agar piawaian syariah dapat kekal pada aras yang tinggi.

Tanpa mengenepikan persoalan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan yang sepatutnya diambil kira oleh jawatankuasa berkenaan.

Laporan ISM yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 28 Mac lalu.Laporan ISM yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 28 Mac lalu.

Kajian ISM ini dilakukan oleh sebuah jawatankuasa khas dilantik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lima buah universiti tempatan untuk memperincikan lapan bidang utama yang menjadi tumpuan menepati maqasid syariah.

Indeks yang pertama kali di dunia seumpamanya ini, adalah berdasarkan hasil dapatan penyelidikan yang telah berjalan selama enam bulan di seluruh Malaysia dengan tenaga kepakaran seramai 133 orang penyelidik dalam pelbagai disiplin ilmu.

Dalam wawancara Malaysia Dateline dengan Presiden Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor baru-baru ini, beliau menerangkan peratusan yang diperoleh jawatankuasa dalam ISM tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Maqasid syariah ini ujar beliau adalah perkara yang berkait rapat dengan muamalah. Jawantankuasa dilantik itu melakukan kajian mereka dalam konteks hukum hakam. Sejauh mana aspek hukum hakam itu dinilai dalam lapan bidang keutamaan tersebut yang menepati perundangan Islam.

“Tidak perlu gusar dengan keputusan jawatankuasa berkenaan. Mungkin jika meneruskan kajian dengan kaedah yang sama bagi tahun berikutnya, peratusan indeks syariah itu akan berubah mungkin makin baik atau kurang baik.

“Ini semuanya tertakluk kepada kestabilan negara, keadaan ekonomi, dasar pendidikan, sosial dan lain-lain lagi yang akhirnya akan merubah angka-angka peratusan itu,” ujar bekas timbalan naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Terang bekas timbalan menteri agama di Jabatan Perdana Menteri ini lagi, mana-mana pihak yang mahu menilai dapatan ISM, haruslah melihat sesuatu isu dari sudut halal, haram dan syubhah serta kesahihan input dalam kajian dilakukan jawatankuasa tersebut.

“Jika perkara yang masih syubhah kita ketepikan dulu, kita tumpu kepada sesuatu yang sudah pasti dan dibuktikan dengan fakta.

“Kita boleh perhalusi lagi dapatan kajian dilakukan itu di masa hadapan. Apa yang penting dalam hal ini tidak perlu lihat detil sangat tetapi melihat semangat atau usaha untuk menjadikan prinsip yang digagaskan dalam Islam itu akan menjadi kayu ukur untuk penambahbaikan dalam sistem pentadbiran kerajaan dan agensi-agensinya untuk kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau yang berkelulusan ijazah dari Universiti Al Azhar ini.

Terdapat pandangan ISM tidak boleh terpisah daripada data sokongan dapatan dari indeks-indeks agensi lain antaranya seperti Laporan Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia dalam membantu usaha mengimarahkan lagi prinsip, nilai dan sistem Islam setiap bidang keutamaan untuk memenuhi maqasid syariah itu.

Mengulas hal ini Dr Yusof berkata, indek syariah bukan sesuatu yang tetap ia bersifat subjektif yang sentiasa tertakluk kepada peredaran masa.

“ Saya bagi contoh bagaimana sebuah universiti perlu mengikuti syariah compliance misalnya kita ambil kandungan kursus- kita perlu lihat kuliahnya adakah selari dengan nilai Islam atau bercanggah? Jika kuliah ekonomi adakah ia bercanggah dengan Islam atau tidak, jika begitu berapa tahun kita nak kaji? “soalnya.

Ujarnya lagi, wajar semua pihak melihatnya dari sudut semangat memperkenalkan usaha itu. Jika tiada usaha ini agensi-agensi terbabit akan jalankan pentadbiran mereka secara berasingan , tidak dibimbing ke arah mana mahu dicapai dalam menepati maqasid syariah melalui ISM.

“Elok kita lihat perkara ini sebagai usaha untuk memperbaiki urustadbir dengan semua sektor untuk mengunakan Islam sebagai satu kreteria dalam aspek perundangan, mencakupi lapan bidang keutamaan tersebut melalui ISM.

“Jika nak pertikai kenapa tidak ambil indeks agensi lain saya fikir dalam konteks masyarakat Malaysia kalau kita dapati perkara ini ada satu `world standard’ boleh kita rujuk.

“Sebaliknya ini inisatif yang baru dbuat oleh negara kita yang pertama dikalangan negara-negara Islam.

“Indeks syariah ini sebagai satu usaha untuk mengukur apa yang mahu dicapai. Ini kerana dalam syarak tiada kayu ukur berbentuk objektif untuk penilaian. Bukan masalah 1+1 jadi 2 ini adalah usaha penilaian kalau berkaitan dengan ‘nilai’ tidak ada pendapat yang sama seratus peratus daripada perspektif sebuah agensi atau perspektif masyarakat.

“Bagaimana pula misalnya mahu menilai kehendak syarak dalam bidang politik? Kita lihat dari segi kertas kerja dan usaha tetapi aplikasi lain pula dapatannya bagaimana nak menilainya?

“ Ini perkara melibatkan penilaian umum dalam bidang tertentu secara umum dan tidak tetap dapatannya kerana tidak ada kaedah tetap untuk mengukur indeks kerana ia bersifat subjektif dan amat perlu dari masa ke semasa mencari kaedah yang terbaik untuk menepati prinsip maqasid syariah itu,” ujarnya.

Pengukuran mengikut bidang-bidang utama tersebut dalam kerangka Maqasid Shariah mampu mencerminkan sejauh mana tahap pengetahuan, pemahaman dan pengamalan sama ada oleh kerajaan (sebagai pembuat dasar), agensi-agensi (pelaksana dasar) serta individu dan masyarakat (penerima manfaat).

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: