Kerjasama Pas-Umno boleh kukuhkan sistem dua parti

Kerjasama Pas Umno mampu mengukuhkan sistem dua parti di negara ini.

Pas dan Umno disaran menyambut cadangan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya bekerjasama demi kepentingan umat Islam dengan menubuhkan kerajaan campuran di negara ini.

Kerjasama Pas Umno mampu mengukuhkan sistem dua parti di negara ini.

Pas dan Umno disaran menyambut cadangan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya bekerjasama demi kepentingan umat Islam dengan menubuhkan kerajaan campuran di negara ini.

Timbalan Pesiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata kerjasama antara dua parti Melayu Islam itu adalah pendekatan terbaik yang selalu disebut beberapa pemimpin Pas dan Umno dan perlu disegerakan.

"Usah berlengah lagi kerana itu adalah pendekatan terbaik (bagi kedua belah parti)," kata Salahuddin ketika ditemui Malaysia Dateline.

Menurut Salahuddin, kerjasama Umno dan Pas juga boleh mengukuhkan sistem dua parti di negara ini dengan Pas mengambil keputusan menyertai BN.

Tambah beliau, jika pemimpin Pas menganggap menjalinkan kerjasama atau bergabung dengan Umno boleh mengukuhkan perpaduan Melayu Islam di negara ini, ia adalah langkah terbaik untuk dilakukan.

Ditanya tentang pandangan rasmi Amanah berhubung cadangan kerjasama antara kedua parti Melayu Islam itu, Salahuddin enggan mengulas lanjut namun berkata terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

"Seperti yang saya katakan, kerjasama antara Pas dan Umno boleh mengukuhkan konsep sistem dua parti di negara kita. Rakyat boleh memilih antara Pakatan Harapan dengan BN," katanya.   

Sementara itu cadangan Dr Zakir Naik itu turut disambut baik pelbagai pihak.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Pas dan Umno tidak boleh dipisahkan walaupun kedua-dua parti mempunyai ideologi berbeza.

Beliau berpendapat  Umno dan Pas wajib menjalankan kerjasama demi kelangsungan Islam di negara ini untuk mewujudkan kerajaan campuran sebagaimana disarankan Dr Zakir Naik.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata seruan tersebut datang daripada pihak yang tidak berkepentingan.

“Mungkin sebelum ini pihak Pas agak tidak begitu sedar lagi tentang kepentingan untuk kesatuan ini. Mungkin Pas anggap seruan yang datang dari kepimpinan Umno ada kepentingan sendiri.

“Tetapi Zakir yang bercakap, dia tidak ada kepentingan politik dan peribadinya. Dia bercakap sebagai seorang intelektual Islam, yang melihat kepentingan Islam dan itu bezanya," kata Tajuddin kepada Malaysiakini.

Justeru, Tajuddin mahu Pas melupakan segala sejarah hitamnya bersama Umno sebelum ini demi Islam.

Seorang lagi anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Aziz Kaprawi pula menganggap seruan Dr Zakir itu baik bagi mewujudkan keharmonian negara.

“Ini pandangan yang baik kerana ini akan mewujudkan keharmonian masyarakat seterusnya membawa keamanan negara. Ini yang diharapkan oleh majoriti rakyat," kata Aziz.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno namun enggan menyertai BN.

Pas katanya berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulamak bertarikh 2 Januari 2016 yang sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam namun tidak akan menyertai BN.

Sementara itu, Naib Presiden Pas Idris Ahmad pula menyifatkan seruan Dr Zakir sebagai pandangan orang luar.

“Pendirian Pas jelas bahawa tidak timbul soal kerajaan campuran Umno-Pas dan ia tidak akan berlaku.

“Itu pandangan dia (Dr Zakir) sebagai orang luar dan terpulang kepada beliau.

“Pas tak perlu bergabung dengan Umno sebaliknya ahli Umno itu kena masuk Pas,” tegas Idris.

Lain pula pandangan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Nik Mohamad Zawawi Salleh yang mahu perbincangan dibuat terlebih dahulu.

“Kena tanya dia (Dr Zakir). Kalau kenyataan Najib saya akan komen. Setakat ini kita tak ada komen, nanti kita akan bincang dengan Najib dulu,” kata Nik Zawawi kepada Malaysiakini.

Dalam siri ceramahnya di negara ini, Dr Zakir dirakam bertemu dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam rakaman bual bicara TV AlHijrah, Dr Zakir berkata kerajaan campuran Umno dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Dr Zakir Naik berkata jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: