Kerajaan campuran Umno-Pas sukar terlaksana jika taksub parti

Mahmood Zuhdi Ab Majid

Cadangan untuk mewujudkan kerajaan campuran Umno dan Pas sukar terlaksana selagi masyarakat negara ini masih lagi taksub kepada parti-parti yang didokongi mereka, kata Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Beliau berkata, rasa taksub terhadap sebuah parti politik adalah bibit-bibit perpecahan rakyat terutama di kalangan orang Melayu.

“Majoriti rakyat negara ini ramai yang taksub pemimpin dan fanatik kepada parti yang didokongi mereka.

“Kita mahu sedarkan masyarakat peri pentingnya perpaduan ummah sebelum Umno dan Pas bersetuju untuk bekerjasama. Kita mahu luaskan lagi horizon berfikir masyarakat Melayu.

“Hari ini sudah wujud pelbagai parti politik yang sudah memecahbelahkan rakyat, jika kita menuju pula ke sistem dua parti lagi sukar, selagi masyarakat tidak faham soal perpaduan walaupun mereka berlainan parti,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Mahmood Zuhdi berkata perpecahan Melayu ini bukan sahaja disebabkan politik malah kelunturan akidah yang berlaku dalam masyarakat Melayu juga perlu ditangani segera agar tidak merugikan bangsa, agama dan negara.

Oleh itu golongan pertengahan masyarakat Melayu perlu memainkan peranan untuk menyatukan umat Islam di negara ini, berpunca daripada perpecahan fahaman politik dan aliran agama sekaligus memecahkan komuniti Melayu kepada berpuak dan taksub politik serta luntur akidahnya.

“Dulu hanya ada dua parti politik Melayu terbesar seperti Umno dan Pas. Dulu hanya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab Syafie.

“Hari ini Melayu sudah berpecah kerana politik dan dari segi pegangan akidah pula berkecamuk dengan isu agama yang melunturkan pegangan hidup dan akidah umat Islam yang dianuti pelbagai kaum di negara ini.

“Jika masyarakat pertengahan ini tidak memainkan peranan dan hanya membiarkan politik dan agama di negara ini tidak terarah, keadaan ini jika berlarutan akan merugikan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Oleh kerana komposisi kaum Melayu melebihi kaum lain di negara ini maka orang Melayu menjadi 'tulang belakang' politik dalam negara.

Apabila komposisi Melayu itu sendiri sudah goyah kerana percakaran politik dan akidah sesama sendiri, secara tidak langsung keadaan ini akan menjejaskan pergantungan komposisi bukan Melayu di negara ini.

“Bila Melayu berpecah maka tulang belakang politik dalam negara goyang tiada tempat bergantungan bagi bukan Melayu. Sebelum ini ada Umno-Pas dan sekarang ada macam-macam termasuklah parti politik nyamuk.

“Dulu kita majoriti kini sudah menjadi minoriti. Apabila orang Islam pelbagai kaum di negara ini sudah berpecah dalam kelompok parti dan fahaman agamanya, orang bukan Islam nak bergantung di mana lagi? Mereka turut membina parti sendiri, jadi perpecahan ini semakin melebar membabitkan semua kaum,” ujar beliau.

MDN bina jaringan masyarakat pertengahan bina perpaduan

Justeru melalui MDN sebuah majlis yang diletakkan di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) adalah  majlis yang berautoriti penuh dalam usaha menggembleng tenaga, menyatukan buah fikiran dan mensasarkan matlamat bersama di kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan profesional untuk menggerakkan usaha merapatkan jurang masyarakat di negara ini.

Mahmood Zuhdi menjelaskan, di pentas politik sudah wujud parti berteraskan Melayu dan Islam sebagai tulang belakang, namun MDN sendiri berpandangan untuk meletakkan persoalan 'perpaduan' masyarakat itu tidak boleh digerakkan di kalangan pemimpin politik semata-mata di pentas sama.

“Pengalaman sebelum ini kalau soal perpaduan masyarakat serah pada tanggungjawab parti politik sahaja maka parti politik sukar buat keputusan kerana memikiran soal kepimpinan, kuasa dan sokongan ahli.

“Maka ‘perpaduan ummah’ yang ingin kita tafsirkan adalah sebagai satu perpaduan yang menyeluruh dan kompreshensif.

“Ia perlu didokong oleh pertubuhan dakwah, gerakan massa dan individu yang cintakan perpaduan tanpa ada kepentingan peribadi,” jelasnya.

MDN mewujudkan satu kumpulan yang disertai pelbagai NGO, agensi, orang perseorang, ahli akademi, golongan profesional yang berminat untuk menjalankan kerja dakwah di negara ini yang menjuruskan kepada perpaduan ummah sahaja.

Dimaklumkan MDN sejak setahun lalu sudahpun menggerakkan program kecil-kecilan dalam kumpulan kecil hingga membawa kepada satu perbincangan meja bulat yang telah diadakan sebanyak lima kali sebelum ini dan telah pun merumuskan satu objektif utama dalam menggerakkan kumpulan ini ke arah membina jambatan perpaduan membabitkan semua peringkat masyarakat.

Perbincangan meja bulat ini sedang berjalan dan untuk sesi terakhir akan akan diadakan di Pulau Pinang akhir bulan ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: