Pintu debat Ramasamy-Zakir masih terbuka

Zakir Naik Ramasamy

Siri jelajah syarahan Dr Zakir Naik walaupun sudah berakhir, namun ruang berdebatan  antara Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr P.Ramasamy dengan pendakwah muslim antarabangsa dari India itu masih lagi terbuka.

 (dari kiri) Dr Zakir Naik dan Prof Dr P Ramasamy

 Siri jelajah syarahan Dr Zakir Naik walaupun sudah berakhir, namun ruang berdebatan  antara Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr P Ramasamy dengan pendakwah muslim antarabangsa dari India itu masih lagi terbuka.

Pengarah Program Syarahan Umum Dr. Zakir Naik 2016, Abu Shariz Badr Sarajun Hoda berkata, Dr Zakir telah pulang ke negaranya pada Khamis lalu amat dukacitakan apabila Ramasamy telah menolak tiket kapal terbang percuma dan tempat duduk khas untuk mendengar ceramahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Malah sehingga ke hari ini Ramasamy masih lagi, tidak menyatakan akan pendiriannya sama ada  untuk meneruskan debat walaupun Ramasamy sendiri terlebih dahulu telah mencabar Dr Zakir untuk berdebat.

Dalam satu pertemuan dengan Malaysia Dateline pada Jumaat, beliau diminta mengulas insiden pada 14 April lalu apabila Dr. Zakir bersedia menerima cabaran debat P. Ramasamy yang melabelkan beliau sebagai syaitan, sekiranya wakil rakyat DAP itu berjaya mengumpulkan minimum 20,000 penonton pada program ceramahnya sendiri.

“Anda (Ramasamy) kalau nak bagi ceramah agama kepada penganut Hindu purata di negara ini mesti 20,000 orang.

“Saya nak tanya anda, tak kiralah di mana tempat anda pernah bagi ceramah agama sama ada di Sri Lanka atau di Pulau Pinang, adakah anda dapat mencecah 20,000 orang?

“Jadi jika anda sudah melebihi jumlah itu, pada masa itulah anda layak untuk menyatakan keperluan untuk berdebat dengan Dr Zakir.

“Saya akan dapatkan Dr Zakir dan lokasi perdebatan yang sesuai untuk anda berdebat dengannya.

“Tetapi saya nak bagi tahu lebih awal jangan buang masa Dr Zakir jika anda tak sampai sasaran itu,” ujarnya.

Abu Shariz Badr Sarajun HodaAbu Shariz Badr berkata, sekurang-kurangnya Ramasamy perlu berada pada tahap hampir sama protege Zakir di negara ini, sebelum mengemukakan cabaran kepada Zakir sendiri.

“Jika tidak ada 20,000 orang sekurang-kurangnya hampir sama dengan enam orang protege Dr Zakir di negara ini.

“Dr Zakir seorang mahaguru kerana setiap kali beliau memberi ceramah penontonnya boleh mencecah antara 100,000 sehingga 200,000 orang.

" Ramai penceramah dalam agama hindu dan kristian di negara ini ketika menyampaikan syarahan mereka dianggarkan lebih 20,000 dalam satu-satu masa.

“Jika beliau tidak sampai tahap itu, saya sarankan gunakan apa juga fakta yang beliau dakwa berpengetahuan dan membuat kajian mengenai perbandingan agama, jadi gunakanlah butiran itu untuk berhujah dalam perdebatan itu kelak jika beliau sudah bersedia,” ujarnya.

Katanya lagi, oleh kerana ada beberapa individu yang mahu mencari populariti kehadiran Zakir di negara ini telah mengundang polimik yang berlaku.

Ramasamy sebelum itu menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana melabelkan  Zakir sebagai syaitan melalui laman sosial Facebook milik beliau, bagaimanapu beliau menarik balik pernyataan itu pada hari sama.

Berikutan itu, Ramasamy telah dijemput oleh penganjur untuk hadir ke program ceramah Zakir di ibu negara secara percuma, tetapi beliau bukan sahaja menolak tawaran itu, malah mencabar Zakir untuk berdebat.

Dakwa Abu Shariz Bard lagi kehadiran  Zakir ke negara ini dalam siri jelajahnya mendapat sokongan di kalangan majoriti masyarakat beragama Hindu di negara ini.

“Kami tahu ramai orang sokong terutama orang beragama Hindu di negara ini. Kita hanya membincangkan tajuk “persamaan” bukannya “perbezaan”.

“Hanya kerana empat lima orang yang buat kecoh yang khuatir kononnya jika seorang Hindu datang mendengar ceramah Dr Zakir mereka akan masuk Islam.

“Mengapa perlu risau? Kalau orang Hindu masuk Kristian berlongok-longgok tiada siapa pun bising.

“Ini tugas kita untuk berkongsi kebenaran, kita tetap menjalankaan kerja dakwah kita,” ujar Pengarah Program Hidayah Centre ini.

Kunjungan pendakwah kelahiran Mumbai, India pada 10 April lalu itu atas jemputan peribadi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu pertemuan di Korea sebelum ini.

Lokasi ditetapkan penganjur pada malam pembukaan jelajah pada 10 April di Stadium Tertutup Gong Badak, diikuti Universiti Malaysia Terengganu, Masjid Hadhari dan Dewan Sri Amar Chukai.

Sebelum ke Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Melaka (UTeM) dan berakhir di Stadium Bukit Jalil.

Di Terengganu, seorang remaja yang dikenali sebagai Woo Nina Grace, 19 memeluk agama Islam, diikuti seorang lagi di UTeM dan empat lagi di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Dalam siri syarahannya Zakir sempat bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebagai rekod nama sebenarnya  Zakir Abdul Karim Naik pernah dinobatkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah 2013.

Ini membuktikan, kehebatan beliau bukan hanya diperakui di luar negara malah, penglibatannya turut mendapat pengiktirafan di Malaysia.

Dilahirkan pada 18 Oktober 1965, beliau sangat terkenal dengan teknik pidato serta debatnya sangat mantap dan berkesan.

Malah setiap dakwahnya menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti Bible, Veda, Bhagwad Geeta dan Upandishads.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel