Saya atau PAS yang berubah, tanya Husam Musa

 Datuk Husam MusaDatuk Husam MusaMenyifatkan prinsip PAS sudah berubah, Datuk Husam Musa hari ini tampil menegaskan beberapa isu berkaitan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan serta cadangan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno adalah benar.

Bekas Exco kerajaan negeri Kelantan itu berkata, semua kenyataan Presiden PAS sejak kebelakangan ini begitu mengelirukan dan seolah-olah Datuk Seri Abdul Hadi Awang bebas membuat sebarang kenyataan berhubung dasar dan pendirian parti.

Hal ini, ujarnya, berdasarkan reaksi Pesuruhjaya PAS Selangor yang menolak hubungan dengan Perkasa ekoran foto Presiden Perkasa yang memeluk Ahli Parlimen Marang itu tersebar luas di media sosial.

“Jika tindakan Presiden (PAS) menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat, tentulah PJ (Pesuruhjaya) Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu,” katanya.

Beberapa kali melontarkan soalan, “Saya berubah atau PAS berubah?”, Husam menegaskan PAS pada masa lalu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman berlebihan tetapi sebaliknya pada masa ini.

Mengulas isu kerajaan perpaduan (UG), beliau berkata, Presiden PAS satu-satunya pemimpin parti Islam itu yang mendendangkan lagu UG tetapi Hadi telah menarik semula gagasan tersebut menjelang muktamar pada 2011.

“Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS? Jika tidak, kenapa?

“Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya (Hadi) di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan kerajaan UG,” jelasnya.

Husam yang juga Adun Salor selanjutnya mempersoalkan kedudukan Jabatan Penerangan PAS Pusat yang dilihat gagal mengurus isu cadangan menjadi penasihat kerajaan sebaliknya menyerang beliau secara peribadi. 

“Adakah Jabatan Penerangan PAS penyambung fitnah dan adu domba Umno? Apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya?

“Saya tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kawasan di seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi bahan persendaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut dakwaan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim berhubung isu pembalakan, beliau berkata, perkara tersebut bukan satu hal yang baru dibangkitkan.

“Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan PAS membelek apa janji PAS selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

“Sudahkah mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan? Jika tidak, saya berubah atau PAS berubah?” bidas Husam lagi.

Selain mendedahkan pengakuan Hadi untuk tujuan kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor, Husam turut menuntut kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan isu tunggakan caruman guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) membabitkan RM14.6 juta serta melunaskan bayaran dividen kepada peserta Ladang Rakyat. 

Sementara itu, Amzad dalam kenyataannya semalam (6 November) mendakwa Husam sudah berubah dengan menyerang kerajaan negeri Kelantan sekaligus menganggap perbuatan Husam itu memberi faedah kepada Umno.

“Dia (Husam) bukan lagi mempertahankan kerajaan PAS. Tapi bekerja kuat untuk hasut rakyat agar hilang keyakinan kepada PAS. Dia bertindak sama saja seperti PAS mensabotaj PAS. PAN bertindak sama saja seperti DAP yang mendukung PAN. Umno serang PAS, DAP serang PAS, Husam serang PAS,” kata Amzad.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel