Himpunan warga Felda yang ramaikan Himpunan Baju Merah, dakwa DAP

Himpunan warga Felda sama Himpunan Baju Merah

Himpunan Warga Felda bersempena sambutan hari Malaysia pada 16 September 2015 dikhuatiri sengaja diadakan pada hari yang sama bagi meramaikan peserta Himpunan Baju Merah anjuran Parti Pribumi Perkasa (Perkasa), dakwa DAP.

Perhimpunan Baju Merah bertujuan untuk membangkitkan maruah orang Melayu telah diadakan serentak dengan Himpunan Warga Felda itu.

Berdasarkan jawapan yang diberikan di parlimen baru-baru ini, Felda telah menyelaraskan satu program komuniti Felda iaitu Himpunan Warga Felda bersempena sambutan hari Malaysia pada 16 September 2015, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Program tersebut disertai semua NGO dalam Felda termasuklah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), dan Kami Anak Felda(KAF).

Berdasarkan jawapan yang diberikan di parlimen juga, keseluruhan peserta warga Felda yang menyertai program tersebut,  dianggarkan seramai 10,000 orang meliputi 10 wilayah Felda seluruh negara kecuali Wilayah Sabah.

Ini bermakna satu wilayah menghantar 1000 orang dan ini juga menunjukkan bahawa seramai 10,000 orang warga FELDA telah menyertai Himpunan Baju Merah baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, umum mengetahui Himpunan Baju Merah diadakan pada 16 September lalu.

"Adakah Himpunan Warga Felda sengaja dianjurkan pada hari yang sama untuk ramaikan Himpunan Baju Merah?

"Lebih mendukacitakan lagi, perbelanjaan bagi program tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh kewangan badan JKKR dan GPW Gabungan dari semua wilayah terlibat dengan jumlah sebanyak RM925,000.

"Sepatutnya wang tersebut digunakan untuk kepentingan awam, bukannya untuk kegunaan politik sebelah pihak sahaja," katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan jawapan yang diberikan, tujuan himpunan tersebut adalah bagi melahirkan rasa cinta dan bersyukur atas nikmat yang diterima warga peneroka seiring dengan pembangunan negara.

Beliau berkata, tiada apa yang boleh disyukurkan oleh warga Felda seiring dengan pembangunan negara apabila sebanyak 99.9% daripada 94,219 warga Felda telah membeli 800 saham FGVH dengan harga RM4.45/unit pada 2012. Kini harga saham FGVH hanya tinggal RM1.93/unit sahaja.

"Sepatutnya, mereka perlu menganjur satu protes terhadap kerajaan Najib yang telah mengakibatkan mereka mengalami satu kerugian sebanyak RM197 juta! Warga Felda perlu sedar dan marah akan pengurangan dan kejatuhan harga saham yang amat teruk ini. Bukannya bersyukur," katanya yang juga penolong setiausaha publisiti DAP.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: