Banjir KL: SPRM sedia bantu DBKL siasat jika ada unsur rasuah

Datuk Seri Mustafar Ali Datuk Seri Mustafar Ali Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya hanya akan melakukan penyiasatan jika terdapat kelemahan dalam sistem pengurusan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak betul dan mencurigakan sehingga melibatkan rasuah.

"Kita harus melihat dahulu, ia mungkin melibatkan agensi lain yang turut terlepas pandang dalam sesuatu perkara, bukan hanya SPRM sahaja.

"Ia perlukan kerjasama semua pihak. SPRM hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aspek rasuah," katanya selepas menandatangani Ikrar Integriti Korporat Agensi Kelayakan Malaysia dan SPRM di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Majlis tandatangan itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi MQA Prof Emeritus Tan Sri Dr Abu Hassan Othman.

Mustafar berkata demikian bagi mengulas kesediaan Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mohd Najib Mohd untuk bekerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut dan tidak mendedahkan sama ada SPRM ada menerima sebarang laporan berhubung isu banjir kilat daripada DBKL.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: