Amanah Kelantan kecewa sikap Nik Amar

Che Ibrahim MohamadChe Ibrahim MohamadParti Amanah Negara (Amanah) Kelantan merasa kecewa dengan sikap Pas Kelantan khususnya Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menutup pintu rundingan dengan parti itu sebaliknya lebih rela kalah
daripada bekerjasama untuk menewaskan BN.
    
Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad berkata, sikap itu bercanggah dengan dasar yang dibawa bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah menumbangkan kerajaan Umno di Kelantan pada 1990.
    
"Walaupun sebelum ini kita semua tahu Tengku Razaleigh juga pernah (bekerjasama) menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan pada 1978 namun Nik Aziz  juga sanggup berkerjasama dengan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990," katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Amanah Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini.
    
Turut hadir Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Muhamad Hussain dan Setiausaha Amanah Kelantan Rushdan Mustaffa.
    
Che Ibrahim mengulas kenyataan Mohd Amar yang sanggup kehilangan Kelantan daripada bekerjasama dengan Amanah untuk menghadapi BN.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim kesal kerana Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu sanggup kalah di tangan BN daripada bekerjasama dengan Amanah.
    
"Ini kenyataan tidak masuk akal sama sekali kerana parti-parti politik di Malaysia tidak mampu untuk menang secara persendirian.

"Umno sendiri tidak mungkin dapat memerintah negara tanpa pakatan dalam BN," katanya.
    
Beliau menyeru Pas negeri menimbangkan semula keputusan itu jika benar-benar mahukan kerajaan BN ditukar di peringkat pusat dan dalam usaha mempertahankan Kelantan daripada jatuh ke tangan Umno/BN pada pilihan raya umum akan datang.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: