Ahli Pas kena berani tegur presiden, usah jadi Al-Arqam ke-2, tegas Husam

Husam Musa Husam Musa Bekas naib presiden Pas yang dipecat daripada parti, Datuk Husam Musa menasihati ahli Pas agar berani menegur kesilapan presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mengelak masa depan parti itu terjejas.

"Saya dah ucapkan di Terengganu. Pas mesti dihindari jadi al-Arqam kedua. Saya nak pecahkan tembok ini.

"Saya nak beritahu ahli Pas, jangan takut nak tegur presiden. Tahun 1984 perlembagaan Pas dipinda. Pindaan itu menyatakan keputusan presiden mesti dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. Saya masih ada simpan kertas (pindaan) itu.

"Ramai orang Pas tak tahu termasuk Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang menganggap apa diputuskan presiden sebagai mutlak. Ini tidak betul," tegas Husam yang berpengalaman menjadi perwakilan Pas sejak tahun 1982 lagi.

Tegar mengkritik secara terbuka kerajaan negeri Kelantan, Husam menyifatkan hasrat Pas kononnya mahu melaksanakan hudud bercanggah dengan apa yang diamal.

"Kita kata orang curi, kita potong tangan (hukum hudud) dia. Ini orang curi balak. Usahkan tangan, kuku dia pun kita tak potong," sindirnya merujuk isu pembalakan yang juga diakui wujud oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, pendiriannya membongkar pelbagai bentuk penyelewengan di bawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan bukan menyerang Pas seperti didakwa pihak tertentu sebaliknya bertujuan untuk menegur.

"Apabila berkerajaan, saya sebagai Adun mahu memastikan kerajaan yang berjalan mengikut Islam. Jadi, tanggungjawab untuk saya menegur seperti penyelewengan air. Bukan berlaku sekali (kes). Apa buktinya? Tuan-tuan boleh baca laporan audit," jelasnya malam tadi di ibu negara.

Adun Salor itu menegaskan tegurannya sebelum ini lebih kepada 'lapisan pertama' belum lagi secara terperinci menyentuh soal individu termasuk yang menerima sejumlah wang.

Mengulas sikap Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menuding jari kepada Amanah jika Pas kecundang di Kelantan pada pilihan raya nanti, beliau berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu tidak harus berbuat demikian.

"Tak perlu Pas salahkan orang lain macam Mohd Amar kata, kalau kalah Pas di Kelantan, Amanah berdosa di Padang Mahsyar. Tak acilah macam itu.

"Kalau main bola tak boleh sumbat gol, penonton atau lawan sebelah sana pula yang berdosa. Jadi, kita dok diam? Mana boleh begitu. Yang mula berdosa?

"Pemimpin Pas hari ini. Exconya, para pemimpinnya. Pasal apa dia (Pas) kalah? Dia tiada 'deliver', tak 'perform', tiada sensitiviti dengan orang ramai, tiada idea baru.

"Dia sombong, angkuh, (anggap) orang lain tak penting. Dia kata nak buat hudud, sekarang tinggal. Jadi, kenapa Amanah pula kena tanggung dosa ini," bidasnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: