• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Azmin nafi kerajaan negeri setuju naikkan tarif air

 

Azmin Ali MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali melahirkan kekecewaan kerana terdapat media yang melaporkan kerajaan negeri Selangor akan menaikkan tarif air sedangkan beliau tidak mengatakan sedemikian.

"Saya kecewa kerana ada pihak media yang tidak bertanggungjawab yang telah melapor seolah-olah kerajaan negeri bersetuju menaikkan tarif air.

"Ini satu pembohongan, fitnah dan saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana media khususnya TV3 sekiranya mereka terus membuat pembohongan ini," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Beliau turut membaca hansard persidangan DUN semalam dan menegaskan Pengurusan Air Selangor Bhd akan mengkaji kos yang perlu ditanggung kerajaan negeri sebelum membuat keputusan untuk menaikkan tarif air.

"Dalam mana-mana program atau skim penstrukturan ini pastinya akan memberikan implikasi kos.

"Untuk memastikan pengurusan air lebih efektif dan memberikan satu perkhidmatan yang bertanggungjawab dan holistik, namun pendirian kerajaan negeri Selangor adalah untuk memastikan sebarang kenaikan tarif air tak akan membebankan pengguna dan rakyat Selangor," kata Azmin, membaca kandungan hansard DUN semalam.

"Di mana saya sebut kerajaan negeri setuju naikkan tarif air? Ini satu pembohongan," kata Azmin.

"Sekiranya ada keperluan kenaikan kadar tarif, maka ia akan ditentukan setelah kerajaan negeri ambil alih seluruh syarikat berkenaan, belum ada keputusan."

Azmin berkata, kerajaan negeri itu juga memberi jaminan sebarang kenaikan tidak akan beri kesan kepada rakyat Selangor.

"Saya nak cabar TV3 atau Adun yang bersekongkol dengan mereka, di mana saya sebut kerajaan negeri bersetuju menaikkan tarif air?" soalnya.

Bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini antara yang membantah apa yang dikatakan cadangan kerajaan negeri mahu menaikkan kadar tarif air itu.

 

 

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: