Sektor tenaga elektrik negara bakal dimiliki negara asing?

Rafizi Ramli kritik 1MDB

Kepentingan dan kebajikan kira-kira 40,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor tenaga kini tergugat hanya kerana mahu menutup beban hutang syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, Perdana Menteri setakat ini belum mengeluarkan maklum balas berhubung pendedahan pembatalan had pegangan ekuiti sektor strategik negara itu sejak tarikh bidaan pembelian aset penjana bebas (IPP) 1MDB tamat Jumaat lalu.

 Ujarnya, tindakan senyap-senyap itu difahamkan dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga tanpa dibawa berunding di peringkat Jemaah Menteri meskipun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Seri Maximus Ongkili turut dilaporkan membantah keputusan menghapuskan had pegangan 49 peratus oleh syarikat asing dalam sektor elektrik negara.

Beliau mendedahkan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dijangka akan mengumumkan pembida asing iaitu konsortium syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) sebagai pembida yang berjaya.

Walau bagaimanapun, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beberapa perkara kontroversi berhubung syarat bidaan dan prosedur membuat keputusan masih gagal dijawab oleh Najib yang juga Menteri Kewangan itu.

“Bidaan konsortium China-Qatar itu dilaporkan tidak menepati syarat bidaan kerana milik 100 peratus syarikat asing yang bercanggah dengan had pegangan ekuiti.

“Sebarang keputusan untuk membuka sektor elektrik kepada syarikat asing perlu dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen kerana ia membawa kesan besar kepada kedaulatan negara dan kebajikan rakyat,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan untuk membenarkan 1MDB melupuskan semua asset IPP miliknya kepada syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh negara asing itu, ujar Rafizi, akan mengundang risiko besar termasuk gangguan bekalan elektrik negara dan kenaikan tarif elektrik yang tertakluk kepada kehendak syarikat-syarikat asing itu.

Selain itu, katanya, China berupaya untuk membida kontrak-kontrak IPP baru pada masa akan datang ekoran kemungkinan harga tawaran negara itu untuk membina IPP lebih rendah kerana mempunyai struktur kos yang lebih murah.

Situasi tersebut, ujarnya, dibimbangi melemahkan industri tenaga negara syarikat-syarikat tempatan seperti TNB dna syarikat tenaga tempatan lain tidak mampu bersaing.

“Saya menjangkakan jika ini berlaku, dalam tempoh 10 tahun TNB akan menjadi sebuah syarikat elektrik biasa dan bukan lagi gergasi tenaga yang boleh diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dan negara seperti sekarang,” katanya.

Memandangkan Najib enggan memberi sebarang penjelasan mengenai status had pegangan ekuiti syarikat asing, Rafizi akan memfailkan satu usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang dewan pada 17 November bagi membincangkan perkara itu.

“Usul tergempar itu akan difailkan pada 16 November ini iaitu 24 jam sebelum usul tergempar boleh dibahaskan seperti yang ditetapkan di dalam Peraturan Mesyuarat,” ujarnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel