Rafizi cabar Arul berdebat isu 1MDB malam buang undi

Rafizi lwn Arul KandaRafizi lwn Arul Kanda

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mencabar Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat sepentas dengannya, Jumaat ini.

Mengulas kehadiran Arul sebagai tetamu jemputan dalam ceramah isu semasa di Sungai Besar semalam yang turut dihadiri calon BN, Budiman Zohdi, beliau berkata, Arul juga harus bersedia untuk memberi penjelasan berkaitan 1MDB dalam program anjuran Pakatan Harapan.

"Arul sepatutnya berani juga berdebat tentang 1MDB atas pentas Pakatan Harapan kerana 1MDB adalah milik rakyat.

"Saya dengan ini sedia berdebat mengenainya dengan beliau (Arul) hari Jumaat malam, malam terakhir (kempen pilihan raya)," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut Rafizi, Arul perlu menyahut cabarannya untuk turut berceramah dalam program anjuran Pakatan Harapan jika benar 1MDB milik rakyat seperti pernah diakui sendiri oleh Arul sebelum ini.

Dalam program di Sungai Besar itu, Arul bagaimanapun dilapor enggan mengulas ketika ditanya pemberita sama ada kehadirannya dalam ceramah anjuran Jabatan Perdana Menteri itu adalah untuk berkempen.

Untuk rekod, Arul awal tahun ini dilapor mengakui dirinya bukan seorang ahli politik sebaliknya ahli perniagaan yang bertugas memastikan pemerolehan pulangan daripada aset dengan mendapatkan nilai terbaik untuk pemegang saham.

Ekoran siri pendedahan kontroversi membabitkan 1MDB oleh Pakatan Harapan diterajui Rafizi sebelum ini, siasatan terhadap firma pelaburan strategi milik kerajaan yang sarat hutang itu dijalankan.

Bagaimanapun, Gabenor Baru Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim kemudiannya mengesahkan siasatan ke atas 1MDB di bawah bidang kuasa bank pusat itu sudah selesai.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: