Era pentadbiran Najib, orang miskin pun kena cukai - Saifuddin

Saifuddin Abdullah

Pakatan Harapan tidak akan menerima apa juga alasan kerajaan BN terhadap ketirisan kewangan negara sehingga rakyat dibebani dengan cukai barangan
dan perkhidmatan (GST), kata Ketua Setiausaha Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau  berkata dalam PRK Sungai Besar referendum kali ini untuk memberitahu kepada BN mereka kini telah banyak menyusahkan rakyat.

"BN cukup-cukuplah menyusahkan rakyat. Alasan kerajaan kenakan GST kerana kita tidak cukup wang antaranya tiada dana nak bina insfrastruktur pendidikan dan kebajikan rakyat.

"Mana perginya duit negara? Mengapa tak cukup dana sedangkan lebih RM40 bilion dari 1MDB diambil?

"Ini disebabkan rasuah, berlaku ketirisan dan pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah lepas zaman Jepun paling susah untuk rakyat sebab tak pernah orang miskin kena cukai... di bawah Najib sebagai PM dan menteri kewangan, orang miskin kena cukai GST," ujarnya.

Beliau bercakap demikian dalam kempen ceramah Pakatan Harapan di Pasir Panjang, Sungai Besar malam tadi.

Saifuddin juga menyebut tentang dakwaan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli terhadap isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang menaiki jet peribadi yang disewa khas untuk ke Turki, baru-baru ini.

"PM Singapura pun tiada jet peribadi. Sebaliknya di Malaysia berlaku  dana yang besar untuk membeli dan menyelenggarakan kapal terbang.

"Di Malaysia  PM kita yang naik kapal terbang tetapi 'perdana menteri' seorang lagi juga naik kapal terbang... sama ada PM kita ini jantinanya lelaki atau perempuan?

"Kalau benar tak cukup dana berjimat cermatlah kena ada caranya," ujarnya.

Ahli Majlis Pakatan Harapan ini juga yakin calon Amanah yang mewakili Pakatan Harapan, Azhar Ab Shukur mampu membawa perubahan kepada Parlimen Sungai Besar jika beliau menang dalam PRK ini.

"Amanah ini sebuah parti yang kecil... tapi mana ada parti lahir (terus) besar? Ia bermula dengan kecil samalah seperti bermulanya PKR satu ketika dulu. Jika PKR kini sudah menunjukkan prestasinya, inilah masa Amanah pula untuk tunjuk prestasi.

"Calon berwibawa seperti Ustaz Azhar ini, anak bekas wakil rakyat, anak tempatan,  berpelajaran tinggi dan seorang usahawan berjaya.

"Ayah mentuanya orang Temerloh, Pahang dan pengasas madrasah. Ayahnya Abdul Shukur  bekas wakil rakyat yang  baik, Ustaz Azhar juga orang baik... jadi saya fikir sudah tiba masanya kita pilih calon yang baik di Sungai Besar.

"Kita perlu wakil rakyat begini untuk menambah suara menegakkan kebenaran dan keadilan yang boleh wakili suara rakyat," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: