Abu Kassim tamat perkhidmatan pada 1 Ogos

Tan Sri Abu Kassim Mohamed Tan Sri Abu Kassim Mohamed Tan Sri Abu Kassim Mohamed tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos ini seperti dipohonnya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ali berkata selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim, 55, untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ali berkata Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Dis 2020. Abu Kassim dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Jan 2010.

"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Abu Kassim yang telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh Abu Kassim menerajui SPRM, suruhanjaya itu telah melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

Kerajaan juga mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim atas pelantikan sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria, iaitu institusi pengajian anti-rasuah yang unggul di dunia di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu, katanya.


"Beliau (Abu Kassim) juga akan menyumbang pengalaman dan kepakarannya sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM)," katanya.


Ali berkata di peringkat antarabangsa, Abu Kassim akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities dan Ahli Board of Governance, International Anti-Corruption Academy, Austria sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: