NOW anjur kempen bantah 'pemecatan' dua teraju SPRM

Perubahan teraju SPRM didakwa babitkan campur tangan politik

National Oversight and Whistleblowers (NOW) akan menganjurkan kempen membantah 'pemecatan' Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Pengarah Eksekutifnya, Rafizi Ramli dan Akmal Nasir dalam satu kenyataan media berkata, NOW akan memanggil mesyuarat tergempar pada hari Isnin, 27 Jun ini melibatkan Ahli-ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan NGO yang berkaitan bagi membincangkan tindakan-tindakan susulan.

NOW juga mendesak Ahli-ahli Parlimen terutamanya daripada parti-parti pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah untuk meletakkan jawatan sebagai tanda protes.  

Mereka yang mengangotai jawatankuasa tesebut ialah ahli parlimen DAP Kepong, Dr. Tan Seng Giaw, Datuk Fauzi Abd Rahman (PKR-Indera Mahkota) dan Dato' Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu).

NOW turut mendesak ahli-ahli panel dalam jawatankuasa-jawatankuasa bebas SPRM seperti Lembaga Penasihat SPRM, Panel Penilaian Operasi (PPO), Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) termasuk yang baru dilantik untuk meletakkan jawatan atau yang bakal dilantik tidak menerima tawaran jawatan sebagai tanda protes.

"Ini merupakan tindakan pertama kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak selepas mencapai kemenangan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar.

"Pemecatan Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM bukan sahaja campur tangan politik yang melemahkan SPRM tetapi juga akan mengundang kerosakan yang lebih besar terhadap integriti dan ketelusan pentadbiran kerajaan.

"Semua pihak harus memandang serius perkara ini dan bekerjasama bagi mempertahankan kebebasan SPRM," kenyataan media itu dipetik.

NOW juga berharap parti-parti politik pembangkang seperti Pakatan Harapan dan Pas mencari kesepakatan dan meletakkan agenda memerangi rasuah dan ketirisan sebagai keutamaan dan dijadikan titik pertemuan usahasama.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: