• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

FGV suramkan sambutan Aidilfitri warga Felda

Kebun kelapa sawit milik peneroka Felda.Kebun kelapa sawit milik peneroka Felda.

Warga Felda khususnya para peneroka menyambut kedatangan Aidilfitri dalam suasana suram memandangkan pulangan yang diperolehi daripada dividen Felda Global Ventures (FGV) merosot saban tahun.

Mazlan AlimanMazlan AlimanPresiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, pada 2014, dividen FGV yang diberikan kepada setiap peneroka adalah RM647 disamping RM300 duit raya.

Jumlah itu berkurang pada 2015 apabila setiap peneroka menerima RM600 dividen FGV dengan RM300 duit raya.

Bagaimanapun tambah beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis di Felda Chini Timur 3, 22 Jun lalu hanya mengumumkan RM500 duit raya untuk setiap peneroka tanpa menyebut tentang dividen FGV.  

"Adakah ini bermaksud tiada dividen FGV, yang berkait dengan prestasi buruk FGV (kerugian) seperti yang dilaporkan sebelum ini?" soal Mazlan.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional turut mengulas pembayaran dividen Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang hanya di sekitar 10% tahun ini berbanding 13% hingga 15% untuk tahun-tahun sebelumnya.

"Itupun terpaksa ditampung dari rizab KPF bukan atas unjuran sebenar keuntungan. Tanpa rizab KPF, difahamkan dividen yang sepatutnya dibayar sekitar tiga hingga empat peratus sahaja.

"Jika rizab KPF diguna berterusan, ia akan habis dalam masa beberapa tahun lagi.

"Kemasyhuran KPF yang mampu memberi dividen kepada pencarum antara 13-15% hanya tinggal kenangan setelah 51% ekuiti KPF dalam Felda Holding diambil alih FGV," ujarnya.

Mazlan juga menambah, kewangan Felda dan FGV yang tidak stabil mengakibatkan bayaran hasil peneroka dibayar lewat setiap bulan manakala nasib yang sama turut dialami kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di ladang Felda.

Dalam perkembangan berkaitan, Anak turut membantah dan mempersoalkan tindakan kerajaan yang menafikan hak sejumlah 13,589 daripada 112,635 peneroka Felda daripada mendapat duit raya.

Menurut Mazlan, alasan bahawa para peneroka terbabit mengendalikan kebun secara persendirian (tidak melalui Felda) dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda adalah suatu diskriminasi terhadap peneroka yang gigih dan berdikari bagi mendapatkan pulangan pendapatan yang lebih baik.

Lebih tidak wajar, tambahnya apabila para peneroka berkenaan masih menjual hasil komoditi mereka di kilang milik Felda.

"Tindakan saman oleh peneroka adalah hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan persekutuan atas sebab ketidakadilan mengenai isu 'kadar perahan gred' dan penyelewengan yang melibatkan pendapatan peneroka.

"Ia pilihan terakhir kerana perundingan dengan Felda gagal mencapai kata sepakat," jelas beliau.

Sehubungan itu, Anak menggesa kerajaan agar menghentikan diskriminasi dan kezaliman terhadap 13,589 peneroka terbabit dan mengembalikan wang mereka yang disekat pada tahun 2014 dan 2015.

Kerajaan BN dan pentadbiran Felda, ujar Mazlan perlu memberikan fokus untuk menyelamatkan Felda dan FGV yang sedang bermasalah dengan kembali ke matlamat asal penubuhan Felda.

"Lakukan muhasabah dari kegagalan, bukan terus menerus mendera peneroka!

"Felda adalah kebanggaan kita semua. Kejayaan dan kecemerlangan dari pengorbanan para peneroka, kakitangan dan pemimpin terdahulu," ujar beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel