Gencatan senjata dicadangkan Pas satu sandiwara, kata Pengerusi BN Selangor

Tan Sri Noh OmarTan Sri Noh OmarPengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar berkata gencatan senjata yang dicadangkan Pas dengan Pakatan Harapan adalah satu sandiwara politik yang tidak pernah berakhir dan ini menunjukkan mereka ini gemar berpolitik daripada berkhidmat untuk rakyat.

“Wayang mereka sedang berjalan, daripada dulu bersandiwara, sekarang dan sampai bila-bila pun bersandiwara. Mereka cuba meletakkan kepentingan diri masing-masing dan akhirnya kalau hasrat politik masing-masing gagal dicapai, mereka akan berlakon balik.

“Saya sendiri pun rasa muak. Mereka ini akan berlakon, berbaik-baik, dan bergaduh balik. Jadi saya harap rakyat khususnya di negeri Selangor dapat melihat sandiwara mereka ini dan menilai bagaimana cara kepimpinan mereka,” kata Ahli Parlimen Tanjong Karang kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Tionghua anjuran beberapa NGO di Tanjong Karang semalam seperti dilaporkan.

Apabila ditanya perkembangan terbaru pakatan pembangkang ini akan mempengaruhi peluang Umno dan BN dalam PRU ke 14, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan, Umno dan BN tetap fokus kepada kekuatan sendiri daripada memikirkan kelemahan pihak lawan.

“Kita (BN) di Selangor tidak ambil kira kelemahan mereka, pertembungan dua penjuru ke, tiga penjuru ke, mereka nak bersatu atau berpecah, itu adalah urusan mereka.

“Saya lebih suka menumpukan urusan UMNO dan BN, yang mana kita kena memperkukuhkan meningkatkan kekuatan dan perpaduan kita serta menyusun gerak kerja lebih jitu,” katanya lagi.

Menurutnya, Umno dan BN mempunyai pendekatan sendiri untuk berhadapan dengan lawan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man memberi cadangan untuk ‘gencatan senjata’ dengan PKR, DAP dan PAN dalam Pakatan Harapan bagi persediaan menghadapi BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 nanti.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: