Kerajaan pusat bina 1,000 lagi unit rumah PPR di Selangor

Tan Sri Noh OmarKementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan untuk membina 1,000 lagi unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor sehingga akhir tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata pada masa ini, kementerian sedang mencari lokasi dan tapak bersesuaian untuk melaksanakan projek yang bertujuan membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah berkenaan.

"Kita sedang mencari tanah untuk laksanakan tambahan unit PPR di Selangor dan diharap kerajaan Selangor akan memberi kerjasama baik dengan tidak mengenakan premium tanah yang mahal termasuk memberi kebenaran merancang," katanya pada sidang media di i-City,  hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong, Timbalan Pengerusinya Datuk Eu Hong Chew dan Pengarah i-City Monica Ong.

Noh ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka bentuk 'i-Design' Facade Design Competition' anjuran I-Berhad, iaitu Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tunku Abdul Rahman (juara bersama) serta Universiti Taylor (tempat ketiga).

Noh berkata kerajaan Pusat sebelum ini, menyiapkan projek PPR Lembah Subang 2 di Petaling Jaya dan PPR Kampung Hassan di Hulu Selangor, masing-masing melibatkan 400 dan 300 unit, sementara satu lagi projek PPR di Dengkil melibatkan 1,580 unit masih dalam proses pembinaan.

Katanya kerjasama dengan kerajaan Selangor penting bagi membolehkan kementerian membina lebih banyak perumahan untuk rakyat berpendapatan RM2,500 dan ke bawah sebulan, yang sukar mendapat pinjaman bank menerusi sistem 'sewa dan beli' yang telah dipersetujui Kabinet.

Noh berkata melalui sistem 'sewa dan beli' PPR, kerajaan Persekutuan akan menanggung sepenuhnya kos pembinaan termasuk subsidi berjumlah RM120,000 daripada kos seunit rumah yang berjumlah kira-kira RM160,000.

"Justeru, pembeli yang layak hanya perlu membayar RM35,000 seunit mengikut tempoh sewa beli yang ditetapkan," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel