Amanah Kedah tuntut batalkan perjanjian projek di Bukit Tangga

Sulaiman IbrahimPerjanjian antara kerajaan negeri Kedah dengan sebuah syarikat bagi projek menanam buah-buahan di tanah seluas 500 ekar di Bukit Tangga patut ditamatkan, desak Amanah Kedah.

Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar Bandarnya, Sulaiman Ibrahim berkata, projek pertanian sejak lima tahun itu menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri memandangkan tiada laporan keuntungan tahunan dikemukakan.

"Tanah yang dimiliki oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) ini dijaga oleh anak syarikatnya, Kedah Agro Holdings Bhd (KAH) tetapi telah diberi kepada satu syarikat dengan menubuhkan syarikat usahasama, Kedah Excotic melalui  perkongsian 40 peratus/60 peratus (keuntungan).  

"Perjanjian telah dibuat dari tahun 2011 selama 30 tahun dan boleh disemak setiap lima tahun tetapi syarikat usahasama itu belum pernah menyatakan sebarang keuntungan tahunan semenjak projek ini berjalan.

"Malah syarat perjanjian  yang sangat mustahak tidak diikuti iaitu melantik dua  pegawai yang bertanggungjawab memantau perjalanan projek bagi mewakili Kedah Agro," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulaiman yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan berkata, projek tersebut tidak harus diteruskan kerana tidak mematuhi syarat perjanjian yang menyebabkan Perbadanan Menteri Besar Kedah rugi daripada segi pemberian tanah iaitu sebanyak 40 peratus keuntungan.

"Kerajaan Negeri harus segera membatalkan projek ini tanpa sebarang pembelian 60 peratus saham lagi. Tanah ini milik rakyat dan Kedah Agro harus dengan kadar segera mengambil alih projek berkenaan.

"Bukan dengan ambil alih saham 60 peratus kerana kerajaan tidak rugi apa-apa jika saham 40 peratus itu diabaikan," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Leman yang juga Ketua Amanah Parlimen Sik memohon Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjawab persoalan berkaitan projek berkenaan demi kepentingan ekonomi kerajaan negeri dan rakyat di Kedah.

Semakan Malaysia Dateline mendapati, jumlah pelaburan bagi projek penanaman betik komersial di daerah Kubang Pasu itu dilaporkan bernilai lebih RM7.7 juta melibatkan pembangunan ladang sejak 2011 dan program latihan Agropreneur pada 2012.

Selain betik, difahamkan kelapa dan nanas baka Morris juga ditanam tetapi ladang tanaman tersebut dikatakan terabai selepas BN mengambil alih kerajaan negeri.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: