RUU 355: Atasi kebimbangan dengan penerangan terperinci

Howard dua dari kiri mengakui beliau seorang yang minat dalam agama dan paling mengagumi Islam

Pihak yang membawa atau menyokong Rang Undang-undang (RUU) 355 bagi memperkasa mahkamah syariah bertanggungjawab mengatasi kebimbangan orang bukan Islam terhadap pindaan RUU tersebut.

Ketua pemuda DAP Perak Howard Lee Chuan How berkata, pihak yang membawa RUU trsebut tidak boleh hanya memberi alasan pindaan tersebut tidak melibatkan orang bukan Islam tanpa ada penerangan yang terperinci mengenainya.

“Tanggungjawab adalah kepada pihak yang membawa atau menyokong RUU355 untuk meyakinkan mereka yang bimbang. Itu adalah isu dan soalan pokok.

“Saya bimbang apabila Islam diperguna atau dicemari melalui individu atau pihak tertentu untuk percaturan politik,” katanya dalam wacana RUU355: wajarkan bukan Islam bimbang anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) di Seri Kembangan malam tadi.

Howard yang juga Adun Pasir Pinji turut mengakui beliau seorang yang minat dalam agama dan paling mengagumi Islam kerana keindahan dan sifatnya yang menyeluruh.

“Saya seorang manusia yang sangat minat pada agama. Saya dilahirkan dalam keluarga yang menganut agama Taoisme.

“Antara agama yang saya pelajari yang saya paling kagumi adalah Islam kerana keindahan dan keseluruhannya,” katanya.

Sebelum itu, felo undang-undang di Institut Kefahaman Islam (IKIM) Prof Madya Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz menegaskan pindaan RUU355 adalah menurut perlembagaan.

Beliau berkata orang bukan Islam tidak perlu bimbang terhadap RUU tersebut kerana ia hanya melibatkan mahkamah syariah khusus untuk orang Islam.

“Persoalannya kebimbangan yang bagaiamana tentang RUU ini?
“Kebimbangan ada kewajaran kalau ia berasas. Kalau tak berasas saya saya rasa orang bukan Islam khususnya tak perlu bimbang.

“RUU 355 berasaskan perlembagaan dan tidak bercanggah dan memlaui proses yang sah dalam parlimen,” katanya.

Cadangan pindaan RUU355 adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, dan 6 kali sebatan syar'ie.

Pindaan terakhir pada tahun 1984 adalah untuk meningkatkan hukuman penjara dari 6 bulan dan denda RM1,000. Denda maksimum untuk mendera binatang ialah RM50,000 mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953; 10 kali lebih tinggi jika dibandingkan dengan denda maksimum yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah sebelum ini.

Sementara itu naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, sekadar memberi keyakinan bahawa RUU 355 ini tidak melibatkan orang bukan Islam tidak cukup untuk meyakinkan mereka bahawa tidak akan ada masalah yang timbul berkaitan pindaan ini.

“Isu yang benar-benar membimbangkan seluruh rakyat Malaysia termasuk non muslim kerana merasa ruang mereka dicerobohi secara tidak langsung.

“Saya kurang bersetuju dengan pandangan kawan-kawan yang menyatakan kebimbnagan bukan Islam itu dengan memberi jaminan bahawa ia tidak akan kena kepada mereka.

“Betul secara langsung tidak kena tapi dalam konteks dinamika yang ada dia tidak dapat lari daripada keterlibatan dan kesnya terlalu banyak. Antaranya kes kematian Moorty berlaku perebutan antara Hindu dan Islam. Ini melibatkan nak kebumi di mana dan keputusan mahkmah syariah memutuskan dia Islam. Banyak lagi kes lain yang menimbulkan pertelingkahan,” katanya yang juga ahli Parlimen Parit Buntar.

Forum tersebut turut menampilkan Pensyarah Undang-Undang dan Pengarah Biro Perundangan IKRAM Malaysia dan pengarah pusat penyelidikan Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel