Pindaan RUU 355, EKJS Kelantan 2015 dua perkara berbeza

Ustaz Che Ibrahiam MohamadUstaz Che Ibrahiam Mohamad

Bekas setiausaha badan penggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1993), Ustaz Che Ibrahim Mohamed berkata percubaan mengaitkan pindaan RUU 355 yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang 26 Mei lalu dengan pelaksanaan hukum Hudud merupakan satu kekeliruan besar.

"Pindaan RUU 355 ini hanyalah satu ubahsuai kepada Akta Ibu yang telah digunapakai sekarang iaitu Akta 355 atau nama penuhnya Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965.

"Akta tersebut telah diluluskan di parlimen pada April 1965 dan telah dibuat pindaan oleh kerajaan persekutuan sebanyak dua kali," katanya.

Selain itu katanya, Akta 355 juga turut dikenali nama lain sebagai Akta 356 kerana merujuk kepada hukuman tiga tahun penjara, denda sebanyak lima ribu ringgit dan sebatan sebanyak enam kali.

"Terdapat tiga perkara yang penting di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965.

"Pertama hanya terpakai kepada orang islam sahaja, kedua memberi kuasa makhamah syariah berkaitan dengan kesalahan yang melanggar perintah rukun agama dan ketiga kuasa hukuman yakni merujuk kepada penjara tiga tahun, denda lima ribu ringgit dan sebat sebanyak enam kali," katanya dalam program wacana "Salah Faham RUU 355" yang berlangsung malam tadi di Kota Bharu.

Cadangan pindaan RUU 355 ini katanya, adalah bertujuan untuk membuat pindaan Akta 355.

Antara perkara dicadangkan menurut beliau ialah meminda bidang kuasa jenayah bagi menggantikan hukuman yang sedia ada, iaitu penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi rm5000 dan sebat tidak melebihi 6 kali atau gabungan kepada hukuman hukuman tersebut dengan suatu hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati.

"Tetapi RUU 355 yang dicadangkan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 antara lain ialah menggantikan Seksyen 2 dalam Akta Ibu dengan Seksyen 2 yang baru yang berbunyi:-

"Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal hal kesalahan di bawah perkara perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan"

"Juga untuk memansuhkan Seksyen 2 dalam Akta Ibu dan menggantikan dengan Seksyen 2 yang baru tidak mengubah apa apa bidangkuasa jenayah di Mahkamah Syariah katanya.

Menurut beliau jika diteliti kandungan usul persendirian ini, usul MP Marang yang dimasyhurkan RUU 355 tiada kaitan langsung dengan Kanun Jenayah Syariah (1993) Kelantan 2015.

"Dalam erti kata lain, Kanun Jenayah Syariah 2015 yang diluluskan pada 19 Mac 2015 di dalam sidang Dun Kelantan yang lepas tiada kaitan dengan RUU 355," katanya

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel