Tun M minta maaf pinda perlembagaan sebabkan akta MKN lulus

Tun Dr Mahathir MohamadBekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kerana mencadangkan pindaan perlembagaan negara yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu Akta yang diluluskan Parlimen sebagai undang-undang.

Di dalam blognya hari ini,beliau menjelaskan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan dan dikuatkuasakan walaupun tidak mendapat tandatangan persetujuan Yang di Pertuan Agong, bukanlah satu keperluan.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa undang-undang yang diluluskan Parlimen yang masih lagi perlu mendapat persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong.

"Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebahagian darinya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri.

"Diantara hak dan kuasa ini termasuk mengisytihar darurat. Perisytiharan darurat adalah keistimewaan yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong kerana implikasinya amat serius.Ianya memberi hak kepada kerajaan untuk menggantung pelaksanaan undang-undang.Dengan ini Kerajaan boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa dibicara.

"Fasal (1) Perkara 150, Proklamasi Darurat menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian," ujarnya.

Justeru katanya, pindaan kepada Perlembagaan yang menyebabkan persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi diperlukan bukanlah secara menyeluruh.

"Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih lagi diperlukan jika Akta yang dicadangkan menyentuh kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

"Dan Akta MKN jelas memberi kesan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat, yang mana kuasa tersebut tidak lagi bermakna. Untuk Akta ini, persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan.

"Seperti yang saya katakan pindaan kepada Perlembagaan yang menyebabkan persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi diperlukan bukanlah secara menyeluruh. Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih lagi diperlukan jika Akta yang dicadangkan menyentuh kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

"Dan Akta Majlis Keselamatan Negara jelas memberi kesan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat, yang mana kuasa tersebut tidak lagi bermakna. Untuk Akta ini, persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan.

" Di dalam mengisytiharkan yang Akta Keselamatan Negara ini sudah menjadi undang-undang, walaupun ianya tidak mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong, Dato Seri Najib tidak mematuhi pindaan kepada Perlembagaan yang dibuat semasa saya menjadi Perdana Menteri.

"Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran yang berbeza.

"Pindaan tersebut tidak melucutkan lebih 30 perkara lain dibawah kuasa Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.

Sebagai rekod Rang Undang-undang MKN, yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan, telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Dis 2015 sebelum diluluskan pula Dewan Negara pada 22 Dis 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada 7 Jun lalu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel