Tabung Amanah Dakwah bakal laksana kerja dakwah bersepadu

Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi (tiga dari kiri) ketika bercakap mengenai Tabung Amanah Dakwah ketika sidang media diadakan hari ini.

Majlis Dakwah Negara (MDN) bercadang untuk menubuhkan Tabung Amanah Dakwah bagi tujuan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah di negara ini.

Tabung Amanah Dakwah ini akan mempunyai mekanisma tersendiri dalam usaha mengumpul dana dan menggerakkan jaringan dakwah dalam pelbagai lapisan masyarakat, profesional dan institusi agama.

Pengerusi MDN  Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid menjelaskan, cadangan menubuhkan tabung itu sebagai salah satu daripada lima usul yang dibawa oleh MDN untuk memberi peluang semua pihak terbabit secara langsung mengikut kemampuan masing-masing.

"Kita masih belum menentukan mekanismanya. Kita akan reka bentuk satu mekanisma yang moden dan bersistematik yang boleh menghasilkan apa yang kita perlukan.

"Ia bukan sahaja mencari sumber kewangan semata-mata kerana kewangan perkara kedua.

"Sebaliknya kita mahukan penyertaan semua masyarakat dalam urusan dakwah melalui sumbangan kecil mereka dalam tabung ini.

"Kita mahu masyarakat berpendapat bahawa setiap sen yang mereka sumbangkan adalah "saham kami,saham bersama" dalam usaha menggerakkan dakwah secara lebih bersepadu dan terarah," ujarnya dalam sidang media diadakan dalam Persidangan Pendakwah Kebangsaan dengan tema: 'Peranan Pendakwah Dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara', di Bangi hari ini.

Mahmood Zuhdi menambah, walaupun ada cadangan dikalangan hadirin untuk mengunakan zakat dalam asnaf fisabilillah sebagai alternatif kepada membantu menjana tabung itu tetapi beliau enggan menjadikan sumber zakat sebagai tabungan bagi mengerakkan kerja dakwah yang akan dilaksanakan oleh MDN.

"Ada cadangan tabung ini mengunakan asnaf zakat. Kita sedia maklum isu zakat agak kontroversi walaupun zakat memberi sumbangan cukup baik pada perkembangan dakwah, namun masih ada masyarakat yang mempertikaikan pembahagian zakat kerana mereka kurang faham tentang agihan zakat itu sendiri.

"Kita boleh terima zakat itu di bawah asnaf fisabilillah adalah satu sumber yang boleh beri dana, tidaklah... kita tak mahu timbul kontroversi," ujarnya.

Justeru katanya, cadangan MDN menubuhkan tabung ini bertujuan untuk memastikan usaha dakwah ini dapat digerakkan secara berterusan ia bukan satu usaha jangka pendek semata-mata.

"Kita cadangkan dalam usul ini agar MDN tubuhkan Tabung Amanah Dakwah untuk jalankan kerja-kerja dakwah.

"Ini kerana antara kelemahan pendakwah Islam dari segi kelemahan ekonomi mereka berbanding pendakwah agama lain yang boleh mengunakan sumber kewangan yang tidak terhad oleh mereka," ujarnya.

Beliau juga berkata terdapat lebih kurang 20,000 pendakwah di seluruh negara yang berdaftar dan lebih ramai lagi yang menjalankan kerja dakwah yang masih lagi tidak berdaftar dengan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri.

Antara hasrat MDN katanya, adalah untuk mengumpulkan semua pendakwah ini dalam satu jaringan kumpulan yang mempunyai kekuatan `satu suara' dalam menangani pelbagai isu dan persoalan masyarakat Islam di negara ini.

"Paling bahaya telah timbul soal perbezaan mazhab dalam membicara isu semasa menyebabkan kita berkelahi sesama sendiri.

"Sebenarnya mazhab-mazhab kumpulan kecil memang merupakan sebahagian sejarah kita.

"Dakwah di Malaysia dimulakan oleh golongan Syiah tetapi selepas mazhab Syafie masuk ke negara ini ia dilihat sesuai dengan persekitaran di negara ini, lalu kita mengamalkannya sebagai mazhab yang boleh diterima.

"Pendekatan kita supaya konsep ahli sunnah waljamaah itu diperluaskan agarlebih inklusif boleh menampung banyak pandangan dan tidak berkelahi dalam sesuatu pandangan sahaja," ujarnya.

Turut hadir dalam persidangan ini Yang Dipertua Yadim Dr Yusri Mohamad, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dan Pengerusi Persidangan oleh Datuk Dr Fadzilah Kamsah.

Selain pembentang kertas kerja oleh Prof Datuk Mohamad Abu Bakar yang bertajuk: 'Grand Strategy, Gubahan Ummah dan Gagasan Perpaduan'.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel