Tun M setuju jawatan PM tidak seharusnya dilantik menteri kewangan

Tun Dr Mahathir Mohamad Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini setuju bahawa perdana menteri di negara ini tidak seharusnya juga memegang portfolio menteri kewangan.

Ini, katanya, adalah untuk mengelakkan berulangnya skandal kewangan seperti yang membabitkan 1MDB.

"Perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri kewangan," menurut The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik Mahathir pada syarahan di London, Rabu lalu seperti dilapor Malaysiakini.

"Kita perlu meletakkan halangan darupada membenarkan perdana menteri menjadi menteri kewangan," katanya, sambil mengakui beliau sendiru juga pernah memegang jawatan menteri kewangan seketika semasa pemerintahan 22 tahunnya sebagai perdana menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memegang portfolio menteri kewangan sejak September 2008.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat pada Julai lalu memfailkan satu siri tindakan undang-undang sivil untuk merampas aset yang didakwa dibeli dengan dana diselewengkan daripada 1MDB.

Najib menubuhkan firma pelaburan negara milik penuh kementerian kewangan itu pada tahun 2009.

Walaupun tuntutan mahkamah tidak menamakan Najib, dokumen mahkamah membuat banyak rujukan kepada individu yang dinamakan sebagai “Malaysian Official 1" yang kemudiannya disahkan sebagai Najib oleh seseorang yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai siasatan.

Mahathir, sementara itu, berkata beliau menyokong tindakan DOJ serta siasatan di negara-negara lain seperti Switzerland yang sedang menyiasat urusan berkaitan 1MDB.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel