Anwar gesa SPRM siasat pihak terlibat kecurian RM16 bilion

Datuk Seri Anwar IbrahimDatuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak terhadap individu yang terlibat dalam kecurian sejumlah lebih RM16 bilion yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini.

Ini sejajar dengan kejayaan SPRM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengarah, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan terkini Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Air Sabah.

"Pada masa yang sama, kami menantikan tindakan tegas pihak SPRM terhadap mereka yang terlibat di dalam pencurian wang negara yang didakwa berjumlah lebih RM16 bilion, terutama selepas pemfailan kes oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat .

"Tanpa tindakan tegas SPRM dalam isu ini, ia bagai memberi isyarat bahawa Perdana Menteri dan kroni-kroninya kebal undang-undang, dan institusi-institusi dimanipulasi untuk tindakan yang selektif," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan 136 mukasurat, DOJ menggariskan bagaimana AS$ 3,657 bilion (RM14.7 bilion) telah dicuri dari 1MDB dalam tiga fasa, yang disebut sebagai fasa Good Star, fasa Aabar-BVI dan fasa Tanore.

Bagaimanapun, penyiasat Switzerland seawal Januari tahun ini telah merujuk kepada empat fasa dan meletakkan jumlah keseluruhan yang disalahgunakan kira-kira AS$ 4 bilion (RM16 bilion).

Dalam satu kenyataan meminta bantuan bersama Malaysia pada 29 Januari, Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland menyifatkan tiga daripada empat komponen itu seperti 'PetroSaudi', 'Genting / Tanjong' dan 'ADMIC'.

Ini pada dasarnya sama dengan fasa disebut oleh DOJ.

OAG menamakan jejak wang itu berdasarkan syarikat yang terlibat dalam urus niaga perniagaan dengan 1MDB tetapi telah digunakan bagi pengubahan wang haram sedangkan DOJ menggunakan nama entiti luar pesisir di mana wang itu kemudian dialihkan.

Fasa keempat, yang tiada dalam makluman DOJ, telah disebut oleh OAG sebagai 'SRC'.

Ini adalah merujuk kepada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB yang kemudiannya diletakkan di bawah kementerian kewangan pada tahun 2012.

Dalam kenyataannya juga Anwar mengucapkan tahniah kepada SPRM atas kejayaan menyempurnakan tugas dan mendesak agar SPRM meneruskan penyiasatan dengan segera dan tegas.

Bagaimanapun beliau berkata, penangkapan beberapa pegawai kanan Jabatan Air Sabah, yang membimbangkan adalah jumlah yang dikaut pegawai-pegawai terlibat.

"Bayangkan jika pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah ini mampu mengumpul dana RM200 juta; apakah ini merupakan petanda tatakelola dan pengurusan buruk Kerajaan Pusat?

"Tambahan apabila adanya kenyataan pemimpin politik Sabah yang berkata dana RM3.3 bilion yang disalurkan terus dari Kerajaan Pusat ke Jabatan Air Sabah tanpa melalui Kerajaan Negeri Sabah - bagaimana hal ini boleh berlaku tanpa pengetahuan menteri Sabah yang berkenaan? Sepatutnya wang rakyat dan Jabatan Air Sabah diurus khusus untuk memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat Sabah," katanya.

Justeru katanya, insiden ini membuktikan bahawa amalan rasuah di negara ini semakin parah dan membarah. Ia juga menangkis persepsi bahawa jalan penyelesaiannya hanyalah dengan mengapi-apikan sentimen kenegerian.

"Kami berpandangan bahawa apa yang diperlukan adalah dasar yang jelas yang mampu menjana perubahan dalam sistem tatakelola, pembanterasan rasuah, serta ketelusan dalam proses pembidaan tender-tender kerajaan. Semua ini perlu berlaku tanpa mengira kaum, agama, mahupun negeri.

"Jangan mudah mengalih pandangan seolah pimpinan satu kaum atau negeri adalah penyelesaian. Yang menentukan samada pengurusuan teratur, nasib rakyat terjamin dan terbela adalah dasar, peraturan serta penguatkuasaan yang kemas, dan bukan pimpinan satu kaum atau yang mengapi-apikan kononnya hanya sentimen kenegerian ynag mampu mengatasi kemiskinan dan masalah rakyat,' ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel