Syarikat RM2 kendali projek ECRL RM46 bilion

Rafizi dengan Dr Hatta dalam sidang media di Parlimen mempertikaikan syarikat RM2 digunakan untuk kendali projek RM46 bilion.


Ahli parlimen Pakatan Harapan membantah tindakan kerajaan menggunakan syarikat bermodal RM2 yang baru ditubuhkan untuk mengendalikan projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM46 bilion.

Syarikat yang mewakili Kerajaan Malaysia itu dan menandatangani perjanjian bagi pihak Kerajaan Malaysia adalah Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

Syarikat itu telah menandatangani kontrak dengan syarikat dari China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat negara itu.

Syarikat yang bermodalkan RM2 itu ditubuhkan pada 26 September 2016 dengan sahamnya di dipegang oleh Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail.

"Kedua-dua mereka adalah pegawai-pegawai kanan berpangkat Timbalan Setiausaha di Kementeria Kewangan mengikut maklumat yang ada di internet," kata kenyataan yang ditandatangani oleh Rafizi Ramli (Pandan), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Wong Chen (Kelana Jaya) dan Dr Ong Kian Ming (Serdang) itu.

Bagi mereka, apabila kontrak ini ditandatangani oleh sebuah syarikat yang bermodal RM2 dan ditubuhkan pada 26 September 2016, ia menimbulkan tanda tanya sama ada kelulusan yang sewajarnya mengikut peraturan kerajaan telah diikuti.

Pada kebiasaannya, katanya, sebuah syarikat khusus (“special purpose vehicle”) yang ditubuhkan kerajaan untuk menjalankan projek infrastruktur besar negara perlu mendapat kelulusan Parlimen untuk mendapatkan modal.

Contohnya, semasa Kerajaan Persekutuan mahu menjalankan projek keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura, Najib terpaksa membentangkan usul di Parlimen untuk meluluskan pendanaan syarikat khusus itu sebanyak RM10 juta, katanya.

"Jelas proses itu tidak berlaku sehingga sebuah syarikat yang bermodal RM2 digunakan untuk menandatangani sebuah kontrak bernilai RM46 bilion," katanya.

Malah, mereka mempersoalkan sama ada Najib membawa isu ini mesyuarat Jemaah Kabinet untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Kabinet agar sebuah syarikat yang mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani sebuah projek bernilai RM46 bilion.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: