Perintah berkurung di Esszone dilanjut hingga 27 Nov

Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu, bermula Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata tempoh perintah berkurung berkuat kuasa dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di rumah dan dilarang memasuki kawasan berkenaan sepanjang tempoh itu.

Langkah melanjutkan perintah berkurung itu adalah bertujuan mengekang pencerobohan pengganas dan ancaman penculikan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari selatan Filipina untuk mendapat wang tebusan, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya perintah berkurung itu diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna di perairan itu serta mereka yang tinggal di kawasan daratan Esszone.

Selain itu, katanya, langkah tersebut juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, sekali gus mewujudkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di kawasan Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan mendesak apabila mahu melalui kawasan perintah berkurung," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel