Jangan pertikai kerajaan jalin hubungan erat dengan China - Reezal Merican

Rakyat diharap mempercayai kerajaan dan tidak mempertikai pendekatan berbaik-baik untuk mengeratkan hubungan dengan China

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rakyat hendaklah mempercayai kerajaan dan tidak mempertikai pendekatan berbaik-baik untuk mengeratkan hubungan dengan China.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

Rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak yang berpandangan jauh untuk merintis hubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974, katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk: 'Trump dan Pendirian Umat Islam' anjuran bersama Jabatan Mufti Perlis, Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

"Usaha itu diteruskan anak beliau, Datuk Seri Mohd Najib yang menyedari bahawa hubungan baik dengan dengan negara tersebut dapat membantu ekonomi Malaysia," tambah Reezal Merican.

Beliau menolak keras tuduhan segelintir rakyat bahawa sikap perdana menteri yang menerima pelaburan besar China bakal menggadai kedaulatan negara kepada negara tersebut.

"Semua pihak harus sedar China dengan penduduk sebanyak 1.6 bilion orang adalah kuasa ekonomi dunia kedua terbesar selepas Amerika Syarikat. Hubungan baik yang terjalin akan membuka jalan kepada lebih banyak eksport negara memasuki pasaran negara itu yang menguntungkan rakyat dan negara Malaysia," katanya.

Sementara itu seorang lagi anggota panel Dr Maszlee Malik berkata negara Islam perlu mempunyai seorang tokoh yang berkemampuan 'mendiamkan' Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat) agar tidak memandang serong terhadap umat dan agama Islam.

Beliau yang juga Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berkata paling penting bagi negara Islam seluruh dunia untuk merapatkan hubungan kerana dengan perpaduan sahaja dapat membentuk kekuatan mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel