Perkasa tegas tidak sertai PPBM

(dari kiri) Datuk Ibrahim Ali dan  Tun Dr Mahathir Mohamad(dari kiri) Datuk Ibrahim Ali dan Tun Dr Mahathir MohamadPertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bertegas tidak akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan hubungan baik PPBM dengan DAP.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata keputusan itu dibuat atas dasar perbezaan ideologi dengan DAP yang sering menyentuh sensitiviti berkaitan agama Islam dan kaum peribumi.

"Saya dengan jelas menentang DAP kerana sikap, pendirian dan kerenah mereka yang sering memperkotak-katikkan isu membabitkan kemuliaan Islam dan menyentuh perkara yang ada kena mengena dengan orang Melayu.

"Kita mempunyai pendirian dan perjuangan tersendiri untuk memelihara kedaulatan Islam dan kita tidak boleh bersama DAP dan mana-mana parti yang tidak bersetuju dengan perjuangan Islam dan hal berkaitan peribumi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam beberapa portal media yang melaporkan bekas perdana menteri itu malu mengaku Ibrahim adalah kawannya kerana enggan menyertai PPBM.

Dalam pada itu, Ibrahim menyatakan kesediaan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya pendirian untuk bertanding di mana-mana bahagian di Kelantan dibuat bagi memberi alternatif kepada rakyat memilih pemimpin.

"Saya dan ahli Perkasa lain bertanding bagi membawa suara rakyat, bukan untuk pecah-belahkan undi atau membantu perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) seperti yang didakwa Tun Mahathir," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel