Konsep Rahmatan Lil Alamin tarik hati tokoh akademik sertai Amanah

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir mengumumkan kemasukan dua tokoh akademik ke dalam parti itu hari ini

Dua tokoh akademik menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini, seorang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang lagi dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir mengumumkan kemasukan dua tokoh akademik ke dalam parti itu hari ini

Konsep Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk seluruh alam) menarik minat tokoh akademik Dr. Tajul Ariffin Noordin untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Bekas pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, selepas mengikuti perkembangan Amanah sejak parti itu ditubuhkan pada September tahun lalu, beliau nekad untuk menjadi ahli kerana tertarik dengan pendekatan yang dibawa.

"Secara senyap-senyap saya mengikuti perkembangan Amanah dan saya tertarik dengan Amanah yang betul-betul mengikut perjuangan Tok guru Nik Aziz iaitu konsep Rahmatan Lil Alamin kerana Islam itu agama untuk seluruh manusia. Saya rasa inilah yang saya cari," katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, Jalan Kuching hari ini.

Penyertaan beliau ke dalam Amanah diumumkan Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.

Turut bersama pada sidang media ialah Naib Presiden Dr Hasan Baharom, Timbalan Setiausaha Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Setiausaha Organisasi Suhaizan Kaiyat dan Ahli Jawatankuasa Nasional Sabky Yusof.

Dr. Tajul juga berkata, lirik lagu Amanah turut menarik hati beliau terhadap Amanah.

"Rangkap pertama lagu Amanah'Islam agama yang indah' terus menarik minat saya. Islam itu bukan ganas tapi agama yang indah. Sangat sesuai dengan konsep yang Amanah bawa," katanya.

Beliau merupakan bekas pensyarah dalam bidang Pendidikan Sains dan Dasar dalam Falsafah Pendidikan.

Bekas timbalan dekan itu juga pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sejak tahun 1996 hingga 1998 sewaktu pemerintahan BN dan 2008 hingga 2010 pada era pemerintahan Pakatan Rakyat.

Selain itu Dr. Tajul pernah memegang jawatan Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dari tahun 1990 hingga tahun 2012.

Ahli Pas seumur hidup

Sementara itu, seorang lagi ahli akademik Dr Mohammad Azmi Othman yang turut menyertai Amanah hari ini mengaku beliau merupakan ahli Pas dari tahun 1988 sehingga bekas Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia tahun lepas.

Beliau yang merupakan bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Pas seolah-olah hilang arah selepas Nik Aziz meninggal menyebabkan beliau mencari parti Islam yang lain.

Pensyarah kanan dalam bidang pengajian perniagaan itu akhirnya bertemu dengan Amanah yang disifatkan sebagai penyambung aspirasi perjuangan Nik Aziz.

"Saya sebenarnya ahli seumur hidup Pas sehingga tok Guru Nik Aziz meninggal.

"Saya berkongsi aspirasi perjuangan tok guru. Selepas tok guru meninggal saya lihat Pas pun mati.

"Kita kena ikatkan diri dengan jemaah islam. Bila tergelincir dari landasan kita kena cari keretapi lain untuk mencapai matlamat dan saya jumpa Amanah yang memperjuangkan Islam," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel