Tentang Akta 164: Teresa Kok bidas kenyataan Takiyuddin melampau

Teresa Kok Akta 164

Kenyataan terbuka pemimpin Pas bahawa masyarakat Islam akan membantah pindaan Akta 164 Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 sekiranya ada pihak yang masih menentang Akta Mahkamah Syariah RUU 355 menimbulkan kurang senang pemimpin DAP.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok membidas Takiyuddin kerana memberi amaran akan menentang Akta 164 jika Akta 355 diganggu.

Beliau menegaskan kenyataan Takiyuddin itu sama sekali mengejutkan, melampau, tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab.

"Kenyataannya itu juga menunjukkan bahawa Pas telah melupuskan slogannya 'Pas Untuk Semua'.

"Sehingga hari ini, ternyata Pas masih tidak faham mengapa orang bukan Islam tidak menyokong Rang Undang-undang yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Pas bertekad mahu bermain politik dalam isu keagamaan demi kepentingannya," ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang bercakap pada sidang media Pas bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) semalam, berpendapat dalam isu RUU Akta 355 masyarakat bukan Islam perlu berlaku adil terhadap masyarakat Islam lebih-lebih lagi apabila hak dan kepentingan mereka selama ini tetap dihormati.

Ini ekorangKhamis lalu Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meminta Dewan Rakyat menangguhkan RUU 355 ke sidang seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2017.

Mengulas lanjut, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, DAP bertegas tidak akan berkompromi dalam mempertahan dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan yang sekular dengan Islam adalah agama rasmi negara ini.

"Takiyuddin mungkin terlupa apa yang Abdul Hadi pernah katakan mengenai undang-undang Islam yang akhirnya memberi kesan kepada bukan Islam tetapi ramai rakyat Malaysia tidak lupakan itu," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel