Ada komuniti kepembangkangan jejas parti, kata Ahmad Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri malam tadi.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk mengenali musuh Umno suatu ketika dulu tidak sukar berbanding hari ini kerana kini wujud komuniti kepembangkangan yang senyap di kalangan ahli dan pemimpin dalam parti.

"Mengenali musuh Umno pada suatu ketika dahulu tidaklah sukar, kerana musuh kita dapat kita kenali dengan melihat mereka menerusi lambang parti.

"Kini, kita berhadapan bukan sahaja dengan parti-parti politik yang jelas nyata sebagai musuh tradisi, tetapi juga dengan kelompok yang menentang kita dengan menyembunyikan warna sebenar mereka, yang selama ini tidak kelihatan.

"Musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan ini wujud tanpa kita sedari melalui platform dan gajet IT," ujarnya ketika berucap pada Perasmian Serentak  Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno  (PAU) 2016 di Pusat Dagangang Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Turut hadir, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Zahid menegaskan ahli dan pemimpin parti perlu berhati-hati dan berwaspada kepada bibit mewujudkan komuniti kepembangkangan yang senyap.

"Kita perlu berhati-hati dan berwaspada kerana penanaman bibit-bibit ke arah mewujudkan komuniti kepembangkangan yang senyap ini, dibuat dengan penuh teliti dan rapi.

"Jika dahulu, mudah untuk kita mengenal pasti golongan pembangkang kerana ia terserlah melalui fahaman ideologikal yang mereka anuti tetapi tidak lagi hari ini.

"Abad ke-21 ternyata telah mengubah landskap pembangkang kepada wujudnya suatu kelompok kepembangkangan, yang berpaksikan kepada dunia digital. Kita tidak nampak mereka secara jelas, tetapi kita dapat merasai kehadiran golongan kepembangkangan ini, menerusi alam maya," katanya.

Malah peringatannya kepada 5,732 perwakilan yang hadir,  pada masa ini Datuk Seri Mohd Najib Razak telah ditakdirkan dipilih sebagai Presiden parti itu.

Justeru beliau merayu kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwala' hanya dibibir.

"Dan ingatlah semua bahawa sekarang ialah waktu di mana Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai Presiden kita.

"Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu. Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwala' hanya di bibir.

"Wala' saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita.

"Sesungguhnya sikap setia ahli kepada institusi kepresidenan membolehkan parti ampuh dan mampu menangkis setiap serangan sama ada dari luar dan mengekang pengkhianatan dari dalam.

"Ahli Umno perlulah menghindari golongan munafik. Mereka yang sifatnya, apabila berkata akan berdusta, apabila berjanji mereka akan ingkari dan apabila diberi kepercayaan mereka mengkhianatinya.

 "Untuk menjadikan Umno kuat selama-lamanya sifat setia atau wala' seharusnya menjadi pegangan setiap ahli. Biar apa sekalipun cercaan dan tohmahan dilemparkan kepada Presiden parti, ia tidak sedikit pun mampu mengugat rasa setia saya kepada beliau," ujarnya.

Pada PAU 2016  kali ini  daripada  5,732 perwakilan Umno  dari seluruh negara  daripada jumlah itu, 2,762 hadir untuk perhimpunan agung, manakala bagi Perhimpunan Pergerakan Wanita seramai 993 orang, Pemuda (992) dan Pergerakan Puteri akan disertai 991 orang perwakilan.

Manakala seramai 44 wakil daripada 12 parti dari 10 negara juga telah mengesahkan kehadiran dan seramai 78 anggota perwakilan dari 80 Kelab Umno luar negara dan tujuh badan perhubungan negara juga akan hadir.

Dan seramai 1,193 petugas media dari 48 agensi media tempatan dan antarabangsa akan membuat liputan perhimpunan itu.

PAU 2016  bermula hari ini sehingga 3 Disember  dengan dimulai dengan Majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup di Dewan Merdeka  jam 2.00 petang tadi diikuti dengan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka pada jam 8.00 malam tadi.

Majlis perasmian PAU 2016 akan diadakan pada 1 Disember (Khamis) di Dewan Merdeka pada jam 8.00 pagi oleh Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel