Sekat suara mahasiswa rugikan masa depan negara, kata ahli akademik

Dr Mazlan Ali ketika diundang sebuah stesen TV baru baru iniDr Mazlan Ali ketika diundang sebuah stesen TV baru baru ini

Tindakan menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara boleh merugikan masa depan negara kerana golongan ini adalah pelapis kepimpinan masa depan dan bakal menerajui negara, kata Pensyarah Kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.

Beliau berpendapat tidak menjadi keperluan sebenarnya untuk mana-mana pihak menghalang aktiviti mahasiswa selagi tidak menjejaskan ketenteraman masyarakat dan keamanan negara.

"Sebagai golongan intelek yg beridealisme, adalah kurang wajar menyekat dan menghalang aktiviti mereka, kecuali jika terbukti tindakan mereka terbukti boleh menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan menjejaskan negara," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan prosiding tatatertib Universiti Malaya (UM) semalam yang mensabitkan kesalahan terhadap empat aktivis mahasiswa kampus itu kerana terlibat dalam kempen dan himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (MO1), 27 Ogos lalu.

Menurutnya, sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) digubal, mahasiswa merupakan kelompok sosial yang berperanan sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.

"Mereka adalah paling lantang dan ke hadapan mengkritik tindakan-tindakan kerajaan yang dianggap tidak menurut perlembagaan, tidak mengamalkan demokrasi dan juga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat yang susah.

"Pada hari ini pula, banyak isu besar berkait dengan politik dan sosio-ekonomi yang mencengkam kehidupan rakyat misalnya kenaikan kos sara hidup ekoran peningkatan mendadak harga barang dan perkhidmatan pada ketika keadaan ekonomi menghimpit," jelasnya.

Memandangkan kedudukan mahasiswa yang berpengaruh dalam masyarakat, ujarnya, banyak pihak dilihat terkesan dengan gerakan golongan terpelajar itu.

"Gerakan-gerakan pelajar ini biasanya akan mendapat dokongan masyarakat kerana mahasiswa dianggap sebagai golongan cerdik pandai yang mampu menganalisa dan berupaya menterjemahkan isu-isu semasa.

"Justeru, gerakan mereka sangat digeruni oleh pihak-pihak tertentu termasuk parti pemerintah," tegas Dr Mazlan lagi.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib UM dipengerusikan pensyarah yang bukan daripada latar kepakaran undang-undang, Prof Dr Azizah Hamzah memutuskan kumpulan #Malaya4 sebagai bersalah kerana terlibat dalam himpunan dan kempen menangkap individu bergelar MO1 yang disebut dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

Perbicaraan di 'mahkamah universiti' itu berlangsung dari pagi sehingga lewat petang secara bergilir dimulakan dengan Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN), Anis Syafiqah Md Yusof yang juga penuntut Fakulti Bahasa dan Linguistik diikuti tiga mahasiswa Akademi Pengajian Islam iaitu Suhail Wan Azahar, Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Fazli.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel