Universiti mahu ajar anak muda jenayah bukan satu dosa?

Anis satu satunya penuntut Hawa daripada kumpulan Malaya4 yang diputuskan bersalah menyertai demonstrasi Tangkap MO1Anis satu satunya penuntut Hawa daripada kumpulan Malaya4 yang diputuskan bersalah menyertai demonstrasi Tangkap MO1

Pemuda Amanah Nasional melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap sabitan tatatertib oleh pentadbiran Universiti Malaya (UM) semalam terhadap kumpulan pemimpin mahasiswa universiti tersebut.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil menyifatkan keputusan itu tidak menghormati hak pelajar yang juga rakyat di negara ini untuk menikmati kebebasan bersuara dan berhimpun seperti dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Penglibatan mereka dalam himpunan Tangkap MO1 (Malaysian Official 1) adalah perhimpunan suci dan jujur lahir daripada suara keperitan hidup rakyat malaysia yang ditekan kenaikan harga barang dan kos sara hidup akibat penyelewengan dan korupsi pemerintah.

"Apakah pihak universiti dalam negara hari ini mahu mengajar generasi muda bahawa jenayah bukan satu dosa, tetapi pengkritik jenayah pula dianggap penjenayah?" bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berpendapat UM sewajarnya harus memuji perhimpunan yang berlangsung di ibu negara, 27 Ogos lalu kerana mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap MO1 memandangkan tuntutan itu adalah bagi mengelak Malaysia daripada terus dihina gara-gara melindungi kleptokrasi sekaligus menyelamatkan khazanah negara untuk tidak lagi dirompak MO1.

"Amat malang apabila UM sebagai institusi pengajian ulung negara tetapi menjadi seperti lembu dicucuk hidung apabila turut mengikut jejak polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan AG (Peguam Negara) yang hanya berdiam diri dengan skandal (1MDB) ini sebaliknya mengambil tindakan tatatertib terhadap mahasiswanya.

"Mereka seharusnya dilindungi oleh pihak universiti kerana mengharumkan nama universiti di atas keberanian mereka," tegasnya yang juga merupakan seorang peguam.

Hal ini memandangkan, jelasnya, tiada sebarang tindakan diambil sehingga sekarang terhadap MO1 atau mana-mana pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB termasuk hartawan Jho Low ataupun anak tiri Perdana Menteri sendiri.

"Malahan, pengkritik skandal ini pula diambil tindakan di bawah pelbagai undang-undang drakonian termasuk SOSMA, OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan Akta Hasutan. Di samping itu, kritikan terhadap skandal ini juga dilarang di Parlimen yang menunjukkan skandal korupsi Perdana Menteri ini adalah sesuatu yang berasas.

"Apatah lagi, negara tiada pilihan bagi menyelamatkan hutang 1MDB dengan berlutut kepada kuasa besar China yang akibatnya hutang ratusan ribu bilion kepada China kemudiannya akan ditanggung oleh rakyat," ujarnya lagi.

Langgar AUKU 

Mengulas lanjut, Faiz turut menyifatkan sabitan terhadap pertuduhan ke atas kumpulan mahasiswa terbabit secara jelas melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2012 yang membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus.

"Namun, apa yang dilakukan oleh mereka sebenarnya merentasi fahaman politik dan sesuatu yang dibenarkn Perlembagaan dengan hasrat baik bagi menyelamatkan negara daripada terus dikhianati MO1," katanya.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional, ujarnya, merayu agar pihak UM mengenakan hukuman ringan berbentuk amaran sahaja dan membenarkan mereka meneruskan pengajian tanpa gangguan memandangkan mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah.

"Skandal 1MDB menambah ancaman hutang negara yang sudah berjumlah RM800 bilion dengan 1MDB sahaja sudah mencecah RM50 bilion. Ketakutan mahasiswa tentang ancaman skandal ini memuncak dengan pendedahan DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) bahawa MO1 terbabit secara langsung dengan skandal ini.

"Sebagai mahasiswa, sudah pasti mereka terasa kesannya sekarang kerana hutang dan kepincangan kepimpinan kleptokrasi akan diwarisi oleh generasi muda ini," tegas Faiz lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel