Kerjasama: Pas keliru, kata Tun Mahathir

Konvensyen Amanah Mat Sabu Tun M

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir mendakwa Pas keliru apabila tidak mahu bekerjasama dengan PPBM jika parti itu menyertai Pakatan Harapan.

 

Tun Mahathir berkata mana-mana pihak yang berusaha ke arah pertandingan tiga penjuru adalah penyokong BN

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir mendakwa Pas keliru apabila tidak mahu bekerjasama dengan PPBM jika parti itu menyertai Pakatan Harapan.

Ini kerana katanya di Selangor, Pas adalah sebahagian daripada kerajaan negeri yang turut ada DAP di dalamnya.

"Pas sedikit keliru. Pada waktu sekarang Pas adalah dalam kerajaan Selangor yang mana ada DAP juga. Dalam masa yang sama Pas tak mahu bersama kita. Saya rasa mereka perlu buat keputusan. kita menunggu sama ada mereka mahu bersendirian atau bersama pembangkang yang ada Amanah dan DAP," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Amanah kali pertama di Shah Alam hari ini.

Pas sebelum ini meletakkan syarat kepada PPBM agar tidak menjalinkan hubungan dengan Amanah dan DAP jika mahu bekerjasama dengan mereka.

"Kalau Bersatu (PPBM) memilih untuk bersama Pakatan Harapan itu hak mereka, kita tidak boleh pertikaikan tetapi sebagaimana saya sebut tadi bermakna persefahaman politik antara Pas dan Bersatu sudah tidak wujud itu setakat inilah," kata Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

Ditanya sama ada PPBM akan terus memberikan masa kepada Pas, Mahathir berkata beliau perlu berbincangan dnegan jawatankuasa terlebih dahulu.

"Kita parti yang mengamalkan demokrasi. Saya kena bincang dneganjawatankuasa dahulu. Say abukan diktaktor," katanya.

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dan PPBM akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan kerjasama rasmi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Turut bersama pada disang media tersebut ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Mahathir juga mengulangi dakwaan bahawa mana-mana pihak yang berusaha ke arah pertandingan tiga penjuru adalah menyokong Umno BN.

"Saya cuma nak kata sesiapa yang berusaha supaya pertandingan dalam PRU14 ini adalah tiga penjuru mereka sebenarnya menyokong Umno BN," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Kahiruddin Aman Razali semalam berkata, Pas bersedia untuk tiga penjuru jika ia menguntungkan Pas untuk strategi memposisikan kemenangan parti Islam itu.

"Dua penjuru mungkin menguntungkan pembangkang tetapi belum tentu menguntungkan Pas. Sebagai parti kedua terbesar dari sudut keahlian Muslim dan Melayu Pas perlu memposisikan dirinya dalam politik tanah air.

"Cukuplah Pas sebelum ini hanya menghirup kuah sementara isinya diratah oleh parti pembangkang lain dalam pilihan raya. Pas perlu terus dengan pendirian tersendiri. Biarkan Pakatan Harapan yang menggabungkan DAP, PKR, Amanah dan PBBM bercakaran sesama mereka merebut kerusi untuk bertanding. Pas perlu yakin dengan diri sendiri membawa agenda dan manifesto tersendiri dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel