• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Amanah bimbang tempias pemikiran takfiri

Presiden Amanah Mohamad Sabu menegaskan Amanah bersedia menjadi benteng yang akan menghalang sebarang bentuk kebencian kaum atau agama dari terus dijadikan agenda politik di kalangan rakyat.Presiden Amanah Mohamad Sabu menegaskan Amanah bersedia menjadi benteng yang akan menghalang sebarang bentuk kebencian kaum atau agama dari terus dijadikan agenda politik di kalangan rakyat.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu bimbang gejala melampau yang mengkafirkan orang lain merebak ke negara ini.

"Apa yang lebih dibimbangi juga ialah merebaknya pemikiran takfiri yang melanda sebahagian dunia Islam yang tempiasnya sampai ke negara kita.

"Golongan ini dengan mudah mengaitkan perbezaan feqah politik dengan persoalan aqidah sehingga menghukum pihak yang tidak sependapat dengan mereka sebagai sesat, munafiq, musuh Islam, dan seumpamanya," ujarnya dalam Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam pagi ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Amanah bersedia menjadi benteng yang akan menghalang sebarang bentuk kebencian kaum atau agama dari terus dijadikan agenda politik di kalangan rakyat.

"Amanah menegaskan bahawa politik di Malaysia mestilah menolak sebarang bentuk unsur pelampau dan keganasan, sama ada atas nama kaum, mahupun agama," ujarnya.

Beliau berkata, negara yang diimpikan adalah negara melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik, selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan dan ketelusan.

"Kita mengimpikan sebuah negara di mana seluruh segmen warganegara dapat digembleng potensi, keupayaan dan kepakaran mereka, bagi membina sebuah masyarakat yang menyantuni nilai-nilai kesederhanaan, keterbukaan, demokratik, hormat menghormati, bersatu padu dan berdaya maju sesuai dengan perlembagaan persekutuan," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam konvensyen sulung Amanah ini adalah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan Sasterawan Negara, A. Samad Said selain wakil diplomat asing.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel