PRU14: Sedia guna lambang parti gabungan Pakatan Harapan

Perwakilan Amanah Johor Ungku Mohd Nor MahmoodPerwakilan Amanah Johor Ungku Mohd Nor Mahmood

Perwakilan Amanah Negeri Johor, Ungku Mohd Nor Mahmood menegaskan pentingnya penggunaan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata, pemakaian pelbagai logo dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung awal tahun depan itu dibimbangi akan mengelirukan rakyat untuk membuat pilihan terbaik.

"Mega pembangkang yang mengandungi jumlah parti komponen lebih kecil daripada BN tidak akan mampu meyakinkan rakyat sebagai gabungan alternatif jika turun ke gelanggang dengan variasi lambang yang mengelirukan pengundi.

"Demi mencapai maksud perpaduan ini, Parti Amanah Negara bersedia untuk turun ke gelanggang pilihan raya menggunakan lambang mana-mana parti komponen gabungan yang dipersetujui bersama atau lambang baru gabungan yang dibenarkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah yang dihadiri 1,204 perwakilan dan 2,000 pemerhati di Shah Alam, hari ini.

Tuntutan kepada satu logo bagi blok pembangkang pada PRU14 turut dibangkitkan sebelum ini dalam Konvensyen Pakatan Harapan, 12 November lalu.

Pada masa sama, Ungku Mohd Nor juga menyatakan pendirian Amanah berkenaan jawatan Perdana Menteri jika rakyat memberi kuasa kepada Pakatan Harapan untuk memerintah.

"Amanah telah memutuskan bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri bagi rakyat Malaysia tetapi oleh sebab beliau masih di penjara, Amanah setuju Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

"Jika kedua-duanya, atau individu lain dalam gabungan tidak setuju atau berhalangan untuk jadi Perdana Menteri, maka Amanah juga tidak kurang mempunyai pemimpin-pemimpin yang boleh disediakan untuk jawatan itu.

"Amanah juga tidak ketandusan pemimpin. Tokoh-tokoh pimpinan Amanah seperti Tuan Haji Mohamad Sabu, Tuan Haji Husam Musa dan ramai lagi boleh sahaja diketengahkan untuk memimpin negara," tegas bekas calon DUN Pulai Sebatang pada PRU13 lalu itu.

Konvensyen sulung Amanah tersebut akan bersambung esok dengan sesi perbahasan perwakilan beberapa negeri lagi serta perbahasan usul.

Turut dijadualkan berlangsung Konvensyen Luar Biasa melibatkan pembentangan, perbahasan dan penerimaan pindaan Perlembagaan Amanah.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel