Pemuda Amanah sampaikan bantuan kepada Orang Asli

Hazmi Hassan (empat dari kiri) menyerahkan bantuan barangan keperluan harian kepada Orang Asli dari perkampungan Pos Pasik, Gua Musang.Hazmi Hassan (empat dari kiri) menyerahkan bantuan barangan keperluan harian kepada Orang Asli dari perkampungan Pos Pasik, Gua Musang.

Pemuda parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan hari ini menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk perkampungan Orang Asli Pos Pasik Gua Musang.

Ketua Pemudanya Hazmi Hassan berkata walaupun banjir tahun ini belum berlaku, persiapan perlu dibuat kerana musim banjir belum berakhir.

"Kampung Pasik antara tempat yang sentiasa terjejas dilanda banjir. Ini berikutan lokasi kampung yang terletak bersebelahan dengan sungai yang mudah dinaiki air apabila hujan lebat," katanya.

Bantuan yang disampaikan hari ini berbentuk keperluan harian berupa barangan dapur.

"Meskipun sumbangan ini kecil, kita berharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga Orang Asli yang sukar mencari rezeki sepanjang musim tengkujuh ini," katanya.

Untuk program lanjutan pemuda merancang mengadakan Hari Keluarga Bersama Orang Asli.

"Program ini akan dianjurkan dengan kerjasama gerakan mahasiswa dan pihak NGO pada bulan Januari 2017," katanya.

Beliau berharap orang ramai dapat turut membantu dalam menjayakan misi bantuan itu nanti.

"Sebarang bantuan untuk diserahkan kepada Orang Asli sempena Hari Keluarga nanti, bolehlah diamanahkan kepada kami untuk disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel